Komodor

Komodor atau Commodore ialah pangkat yang terdapat dalam perkhidmatan tentera laut. Ia digunakan dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja British, Tentera Laut Diraja Australia dan kebanyakan tentera laut negara-negara Komanwel. Satu ketika dahulu, Tentera Laut Diraja Malaysia juga menggunakan pangkat ini tetapi telah digantikan dengan pangkat Laksamana Pertama. Dari segi istilah maritim, Komodor ialah Kepten Kanan ataupun Senior Captain justeru bukan seorang Laksamana mahupun Pegawai Berbendera. Dalam Tentera Laut Amerika pula Komodor ialah lantikan sementara, dan bukannya satu pangkat tetap. Apabila kapal-kapal disusun di dalam sebuah skuadron, dan jika tiada seorang Laksamana, maka Kepten yang paling kanan dilantik menjadi Komodor bagi mengetuai pasukan itu. TLDM mempunyai jawatan yang berfungsi seperti komodor Tentera Laut Amerika, dipanggil Pegawai Kanan Armada atau Senior Officer Afloat (SOFA).