Kandungan Konvensyen_Berne_bagi_Perlindungan_Karya_Sastera_dan_Seni

Konvensyen Berne mewajibkan setiap negara penandatangannya mengiktiraf hak cipta karya-karya pengarang yang berasal dari negara-negara penandatangan yang lain (iaitu anggota-anggota Kesatuan Berne) seperti mana ia mengiktiraf hak cipta warga-warga sendiri. Contohnya, undang-undang hak cipta Perancis digunakan pada apa-apa yang diterbit atau dipersembahkan di Perancis, tanpa mengira tempat asalnya.

Selain menetapkan sistem layanan sama rata yang mengantarabangsakan hak cipta di kalangan negara penandatangan, perjanjian ini turut mewajibkan negara-negara anggota agar menyediakan piawaian minimum yang kukuh bagi undang-undang hak cipta.

Hak cipta di bawah Konvensyen Berne mestilah automatik; keperluan pendaftaran rasmi adalah dilarang sama sekali (bagaimanapun, diingatkan bahawa apabila Amerika Syarikat menyertai Konvensyen pada tahun 1988, namun negara tersebut masih mengenakan ganti rugi berkanun dan bayaran peguam yang hanya disediakan untuk karya-karya berdaftar).

Konvensyen Berne menyatakan bahawa segala karya-karya kecuali fotografi dan sinematografi kekal berhak cipta selama sekurang-kurangnya 50 tahun selepas kematian pengarangnya, tetapi pihak-pihak berkenaan bebas merundingkan tempoh lebih lama, seperti yang dilakukan Kesatuan Eropah dengan arahan mengharmonikan tempoh perlindungan hak cipta pada tahun 1993. Bagai karya fotografi, Konvensyen Berne menetapkan tempoh minimum 25 tahun dari tahun ciptaan foto, manakala bagi sinematografi minimumnya 50 tahun selepas tayangan pertama, atau 50 tahun selepas pembikinannya jika belum ditayangkan dalam masa 50 tahun selepas pembikinannya. Negara-negara yang dinaungi semakan-semakan terawal perjanjian ini boleh memilih untuk menyediakan tempoh perlindungan sendiri, dan jenis-jenis karya tertentu (seperti piring hitam dan wayang gambar) boleh dikenakan tempoh lebih singkat.

Meskipun Konvensyen Berne menyatakan bahawa undang-undang hak cipta sesebuah negara di mana hak cipta itu adalah dituntut perlu dikenakan, perkara 7.8 menyatakan "melainkan diberi sebaliknya oleh perundangan negara itu, tempohnya tidak boleh melebihi tempoh yang ditetapkan dalam negara asal karya berkenaan", iaitu seseorang pengarang lazimnya tidak berhak menerima hak cipta lebih lama di luar negara berbanding negara sendiri, sekalipun jika undang-undang luar negara memberi tempoh lebih panjang. Bukan semua negara telah menerima hukum ini.