Sejarah Kuala_Kangsar

Negeri Perak lahir daripada aliran air yang menebing di Sungai Perak dari puncaknya di Ulu Belum hinggalah ke muaranya di Selat Melaka. Dari zaman awal lagi orang tertarik dengan keistimewaan sungai ini lalu memudikinya sambil mencari tebing yang baik untuk mendarat. Mereka ialah peneroka yang datang membuka tempat baru dan berinteraksi dengan peribumi hingga menjadi orang Perak seperti yang ada sekarang.[perlu rujukan]

Mereka memudik dengan sampan hingga sampai ke suatu anak sungai di tebing kiri Sungai Perak. Dalam kiraan mereka, kuala sungai ini adalah bersempena, lebih-lebih lagi tebingnya rendah, tanahnya subur dan pemandangannya sungguh indah.[perlu rujukan]

Menurut sejarah, Kuala Kangsar mendapat namanya daripada pokok kangsar atau nama saintifiknya hibiscus flocossus yang banyak tumbuh di tebing Sungai Kangsar, anak Sungai Perak.[1]

Satu versi lagi mengatakan nama itu diperoleh daripada para peneroka yang membuka penempatan di kuala sungai itu dengan panggilan 'Kuala Kurang Sa' bermakna kurang satu daripada 100 kerana terdapatnya 99 anak sungai di situ.

Walau bagaimanapun, Kuala Kangsar sebenarnya ialah satu lokasi yang sangat baik, bukan sahaja sesuai sebagai tempat mendarat, tetapi memang baik untuk penempatan, bercucuk tanam, dan sebagai pusat perniagaan. Di daratnya seseorang boleh meneruskan perjalanan menyusur sungai hingga ternampak Gunung Pondok di Padang Rengas, iaitu satu mercu tanda yang memandu orang dalam perjalanan ke Larut ataupun dari Larut.[perlu rujukan]

Berdasarkan keistimewaan ini, boleh disimpulkan bahawa Kuala Kangsar dan kawasan di sekelilingnya ialah tempat tua, sudah berabad-abad lamanya didiami orang. Pokok getah yang pertama ditanam di Malaysia yang kini berusia lebih 100 tahun masih hidup subur di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. Saiznya tiga atau empat pemeluk.[perlu rujukan]

Kuala Kangsar juga tidak kurang hebatnya dalam melahirkan tokoh-tokoh di pelbagai bidang. Antara tokoh kelahiran atau yang dibesarkan dan mendapat didikan di Kuala Kangsar adalah seperti Tun Mohd Suffian Bin Hj Hashim, mantan Ketua Hakim Negara. Tokoh di bidang perubatan pula ialah Dato' Seri Dr Megat Khas Megat Omar, Dato' Dr Ariffin Hj Ngah Marzuki dan Dr Hj Pandak Ahmad.[perlu rujukan]

Antara alim ulama yang berasal dari Kuala Kangsar ialah Syeikh Hj Mohd Idris Bin Hj Abdul Rauf Almarbawi, Syeikh Hj Ismail Hamzah, dan Hj Sa'aya Abdul Majid.[perlu rujukan]

Berkaitan