Sejarah Kumpulan_Karangkraf

Tindakan seorang pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Haji Hussamuddin Haji Yaacob, menerbitkan sebuah buku ‘Kajian Sejarah Melayu’ pada tahun 1977, menjadi titik tolak bermulanya sejarah Kumpulan Media Karangraf Sdn Bhd (Karangkraf). Suntikan semangat sebenarnya datang daripada ayahandanya, Allahyarham Haji Yaacob Idris yang berjaya membesarkan anak-anak dengan cuma hasil kedai kecil ‘Toko Buku Yaacob Idris’

Kejayaan buku sulung terbitannya telah membakar semangat beliau untuk muncul sebagai penerbit berjaya. Langkah awal ialah menubuhkan Kumpulan Media Karangkraf. Sdn. Bhd. pada 1978, bersama-sama saudara-saudaranya, Haji Fickri Haji Yaacob dan Muhd. Nasir Haji Hamzah. Sebuah rumah sewa di SS 2, Petaling Jaya dijadikan pejabat operasi sekaligus kediaman mereka.

Sejak itu, Karangkraf terus mengorak langkah dengan menubuhkan beberapa anak syarikat, antaranya Karangkraf Edar, Karya Bestari, Keluarga Communication, Bistari Distributor dan Karangkraf Cetak Sdn. Bhd.

Antara penerbitan awal Kumpulan Media Karangkraf ialah majalah Mingguan Kanak-Kanak yang pernah mencapai edaran 159,000 naskhah seminggu. Penerbitan ini diikuti dengan penerbitan majalah Gelihati, majalah Remaja dan Bacaria di samping turut menjadi pengedar kepada 14 penerbitan lain, antaranya majalah Sarina, majalah Kisah Cinta, Watan, Alam Wanita dan Majalah Koleksi. Pada 1981 lagi, syarikat ini telah muncul sebagai pengedar akhbar dan majalah bumiputera terbesar di Malaysia.

Pada Januari 1983, Karangkraf diperkasakan dengan penubuhan Kumpulan Media Karangkraf yang diterajui sendiri oleh Haji Hussamuddin, manakala abangnya, Mohd. Fahim menjadi Pengerusi.

Pada 28 November 1984, Kumpulan Akhbar Watan (KJ) yang ditubuhkan empat bulan sebelum itu telah menggabungkan tokoh politik terkemuka Tan Sri Mohd. Khir Johari (bekas menteri) sebagai Pengerusi dan Haji Hussamuddin sebagai Pengarah Urusan yang menerajui kemunculan semula akhbar Watan (yang diambil alih daripada penerbit sebelumnya, Pustaka Antara).

Dari sebuah rumah sewa, Kumpulan Media Karangkraf memperkukuh operasi dengan memiliki bangunan 3 blok, 3 tingkat di No. 50 & 52, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, sebagai premis perniagaan. Begitu juga dengan jumlah kakitangan yang bertambah secara mendadak selaras dengan keperluan majalah-majalah yang diterbitkannya.

Namun begitu, sebagai sebuah syarikat penerbitan yang berdaya maju, suatu ‘lompong’ yang perlu dilengkapi ialah urusan pencetakan. Syarikat berasa sudah tiba masanya memiliki syarikat pencetakan sendiri, sekaligus tidak bergantung harap dengan syarikat pencetakan lain untuk mengeluarkan majalah-majalah terbitannya.

Maka, tertubuhlah Ultimate Print Sdn. Bhd. (UPSB). Kesungguhan dan keyakinan membolehkan UPSB bergerak pantas walaupun terpaksa menempuhi pelbagai ranjau dan cabaran.

UPSB mampu mencetak sehingga 2 juta naskhah setiap bulan dilengkapi dengan pelbagai jenis mesin yang canggih di samping para pekerja mahir. Oleh sebab itu, UPSB telah dianugerahkan sijil antarabangsa ISO 9001:2000 pada Oktober 2004.

UPSB dan Kumpulan Media Karangkraf bergerak seiring. Pada Oktober 2003, dengan jumlah 27 judul, Kumpulan Media Karangkraf telah diiktiraf sebagai penerbit majalah bahasa Melayu terbanyak oleh Malaysian Book of Records. Anugerah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kumpulan Media Karangkraf terus merancakkan nadi industri penerbitan tanah air. Penubuhan Alaf21 pada April 1997 dan Buku Prima Sdn Bhd pada 2006 memberi ruang kepada penulis dan masyarakat pembaca untuk berkongsi ilmu.

Terkini,[bila?] akhbar Sinar Harian yang diterbitkan sejak 31 Julai 2006 di Kota Bharu, Kelantan menjadi satu lagi bukti kejayaan Kumpulan Media Karangkraf. Selepas mendapat sambutan di luar dugaan[penjelasan lanjut diperlukan] di Kelantan dan Terengganu, Sinar Harian kini diterbitkan untuk edisi Pahang, edisi Selangor & KL, edisi Melaka & Negeri Sembilan, edisi Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) dan edisi-edisi ini akan diikuti edisi Perak dan juga edisi Johor.

Pada 13 Mac 2018, Karangkraf telah menjadi syarikat media pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Malaysia.[1]

Rujukan

WikiPedia: Kumpulan_Karangkraf //scholar.google.com/scholar?q=%22Kumpulan+Karangk... //www.google.com/search?&q=%22Kumpulan+Karangkraf%... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Kumpu... //www.google.com/search?q=%22Kumpulan+Karangkraf%2... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Kumpulan+Ka... http://corporate.karangkraf.com/our-profile http://www.karangkraf.com http://www.sinarharian.com.my/nasional/karangkraf-... http://web.archive.org/web/20180313172107/http://w... http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2...