Sejarah Kumpulan_Mega

Ditubuhkan di Johor sekitar tahun 1988, Mega pernah beberapa kali mengadakan persembahan bersama kumpulan Search antaranya di Dewan Jubli Intan Johor Bahru pada 7 dan 8 Oktober 1988, Dewan Jubli Intan Kluang pada 10 Oktober 1988 dan Konsert Fenomena Search di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 3 Disember 1988. Mereka kemudiannya ditawarkan menjadi artis pertama syarikat Jojo's Production Sdn. Bhd.

Kemunculan Mega sebagai artis rakaman di tengah-tengah kehangatan irama rock menguasai persada muzik tanah air seangkatan dengan kumpulan Fotograf, XPDC, Ekamatra, Gamma dan Ariwatan. Mereka berpeluang menghasilkan lima buah album penuh dan menikmati populariti sebelum menyepi selama beberapa tahun berikutan kejatuhan pasaran muzik Malaysia pada akhir dekad 90-an.

Pada pertengahan dekad 2000-an menyaksikan musim penggabungan semula (reunion) di mana kumpulan-kumpulan rock era 80-an dan 90-an kembali aktif dalam industri muzik. Para vokalis yang telah melancarkan karier solo berlumba-lumba untuk 'kembali ke pangkuan' kumpulan asal masing-masing, antaranya Amy dan Search, Awie dan Wings, Mus dan May serta Nash dan Lefthanded. Giliran Mega tiba pada tahun 2007 di mana Mega telah berpeluang beraksi bersama kedua-dua bekas vokalis mereka iaitu Rahmad dan Zarith dalam siri persembahan 'live' di pusat hiburan Planet Hollywood. 'Showcase' tersebut menggandingkan Mega dengan kumpulan Fotograf.