Sejarah Laluan_Persekutuan_Malaysia_68

    Maklumat selanjutnya: Laluan Persekutuan Malaysia 2#Sejarah

Jalan Gombak FT68 asalnya merupakan sebahagian jajaran Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2. Ia dibina pada tahun 1915.[1] Namun, jalan raya ini terkenal kerana selekohnya yang sangat tajam, gaungnya yang dalam, keadaan jalan yang sempit serta kekurangan ciri keselamatan, menjadikan jalan raya ini sangat berbahaya. Maka, pada tahun 1970an, sebuah laluan pengganti bagi jajaran Jalan Gombak yang sempit dan berselekoh tajam dari Kuala Lumpur ke Karak dibina. Jajaran pengganti ini dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2, yang menampitkan Terowong Genting Sempah sepanjang 914.4 m. Lebuh raya tol sepanjang 75.2 km tersebut dibina dengan kos RM136.4 juta dan dibuka kepada lalu lintas pada 7 Januari 1978.[7] Hasilnya, Jalan Gombak lama diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 68.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 kemudian dinaik taraf menjadi lebuh raya capaian terkawal penuh pada tahun 1994 dan siap sepenuhnya 4 tahun kemudian.[8] Namun, tidak seperti projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 yang mana jajaran lama Jalan Persekutuan 1 dari Kuala Lumpur sehingga Seremban dipulihkan semula sebagai sebahagian daripada peojek tersebut, tiada sebarang usaha pemulihan dilakukan terhadap Jalan Gombak FT68 semasa kerja-kerja naik taraf Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2. Hasilnya, sangat sedikit pengguna jalan raya yang sanggup menggunakan jalan FT68 kerana keadaannya yang sangat berbahaya, walaupun ketika Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 mengalami kesesakan teruk semasa musim perayaan.[5]