Penerbitan Lari_(filem)

Idea untuk filem ini telah dicadangkan oleh pengarahnya, Ahmad Idham pada 2010 apabila beliau mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan skripnya.[1] Menurutnya, kerana kebuntuan idea, beliau terpaksa berhenti menulis skrip filem ini.[1] Namun, Idham berjaya menyiapkannya semasa beliau dan keluarganya mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah pada April 2012. Idham juga berkata, syarikatnya Excellent Pictures memperuntukkan RM500,000 hingga RM600,000 hanya untuk babak aksi sahaja.[1] Beliau juga ingin lari daripada isu gangsterisme yang sering dikaitkan dengan filem aksi, dengan mengangkat isu pemerdagangan manusia. Malah, aksi yang dipamerkan bukan calang-calang apabila beliau menggunakan sentuhan pengarah aksi bagi filem aksi Thailand yang terkenal, Ong Bak. Dalam temuramah bersama Sinar Harian, beliau berkata:

"Saya nak lari daripada gangsterisme, jadi saya cipta satu isu yang lebih membina, matang dan universal. Jadi, dari situ timbulnya isu pemerdagangan manusia. Untuk aksi sahaja, sebanyak RM500,000 hingga RM600,000 diperuntukkan. Lari adalah pertaruhan saya paling berisiko sebab kos keseluruhannya RM2.5 juta. Kos filem Excellent yang paling tinggi,"

Idham juga berkata beliau melakukan perubahan pada enam babak bagi mendapatkan klasifikasi P13 sambil menyifatkan Lari merupakan karya beliau yang paling berisiko kerana kos keseluruhannya RM2.5 juta, iaitu kos yang paling tinggi diperuntukkan oleh syarikatnya.[1][6]