Plot Lari_(filem)

Khalif (Aaron Aziz) merupakan seorang bekas askar yang tidak lagi berkhidmat dalam bidang ketenteraan. Dia telah mendapat berita yang mengejutkan berkenaan bapanya yang telah meninggal dunia akibat dibunuh. Semuanya bermula, apabila Khalif pulang ke kampung, dan melihat orang ramai berada di rumahnya. Bila dihampiri, dia mengetahui bahawa bapanya telah dibunuh oleh sindiket, manakala adiknya, Ina (Erin Malek) telah dilarikan oleh mereka, kerana membalas perjanjian yang tidak jadi antara bapanya dan kumpulan sindiket berkenaan. Berdasarkan pengalaman yang pernah diperolehnya daripada latihan ketenteraan dahulu, naluri Khalif ingin mengetahui apa yang sebenarnya terjadi kepada keluarganya. Ini menyebabkan dia mula menyiasat apa yang berlaku, dan mula menemui petunjuk kepada kejadian tragik tersebut.

Dalam masa yang sama KJ (Erry Putra) tidak menyenangi kehadiran Khalif di kampung itu, kerana masih berdendam dengan kejadian yang berlaku dahulu, di mana Khalif merupakan buah hati isterinya Maya (Dira Abu Zahar). Kepulangan Khalif juga membuat Maya cukup bersimpati dengan apa yang terjadi, dia tekad mahu membantu Khalif dalam menyelesaikan masalah tersebut. Pertemuan itu menyebabkan KJ semakin membenci Khalif. Petunjuk mengenai kejadian tragik itu membawa Khalif memulakan perjalanan dalam mencari jawapan. Ketika tiba di perhentian keretapi, Khalif merasakan kehadiran ahli sindiket, menyebabkan berlakunya pergaduhan dan dia cuba untuk melarikan diri. Dia terserempak dengan seorang pemandu teksi Taugeh (Hazama Azmi), yang memang telah lama mempunyai impian untuk menjadi seorang wira.

Sejak itu, Khalif dan Taugeh bergandingan dalam mencari jawapan kepada apa yang berlaku terhadap bapanya dan juga Ina. Kepulangan Khalif dan Taugeh ke kampung semula, telah menyebabkan Maya ingin bersama mereka untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Ketika itu juga, Khalif mendapat petunjuk bahawa sindiket itu didalangi oleh penyeludup dari negara seberang dengan rakan subahat iaitu KJ. Ini telah menyebabkan Khalif bersemuka dengan KJ untuk mengetahui di mana Ina disembunyikan. Akhirnya KJ memberitahu mengenai hal sebenar.

Khalif, Taugeh dan Maya telah menuju ke sempadan dengan niat untuk melepaskan Ina dari cengkaman sindiket itu. Di situ, Khalif mengetahui bahawa adiknya telah dijadikan pelacur oleh sindiket penyeludupan manusia. Pelbagai rintangan telah dihadapi oleh Khalif, Taugeh dan juga Maya dalam usaha melepaskan Ina. Akhirnya, Ina berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan manusia tersebut, manakala hubungan antara Maya dan Khalif kembali terjalin. Taugeh pula terus menjadi teman kepada Khalif.