Sejarah Lembaga_Kemajuan_Tanah_Persekutuan

evolusi logo FELDA

FELDA diwujudkan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan.[1] Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957 . Pada tahun 1958, lima skim yang serupa dibuka.[2] Ianya ditadbirkan oleh sebuah Lembaga yang bertanggungjawab kepada Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.FELDA berperanan untuk memajukan tanah baru untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif melalui pengurusan pertanian yang berkesan di kalangan peneroka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju dan berdisiplin. Pada dekad 1960-an dan 1970-an, dasar kerajaan mula menekankan pelbagaian tanaman untuk mengelakkan kejatuhan harga yang besar. Pada tahun 1961, petempatan kelapa sawit FELDA yang sulung dibuka, dengan 3.75 km² tanah. Sehingga tahun 2000, tanah sebanyak 6,855.2 km² di bawah rancangan FELDA tertumpu kepada kelapa sawit.[2]

FELDA bertumpu di Semenanjung Malaysia, manakala agensi-agensi kerajaan yang lain bertanggungjawab kepada pembangunan tanah di negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia Timur.[3]

Dasar Pengambilan Peneroka

Kerajaan telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baru mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara. Keputusan kerajaan adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. Rancangan yang tiada berpeneroka diuruskan oleh FELDA dan hasilnya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan segala projek infrastruktur di tanah rancangan.