Geografi Lembangan_Amazon

Lembangan Amazon dibatasi oleh Tanah Tinggi Guiana di utara dan Tanah Tinggi Brazil di selatan. Sungai Amazon yang berpunca dari Banjaran Andes di sebelah barat lembangan, merupakan sungai kedua terpanjang di dunia. Ia meliputi jarak sepanjang 6,400 km hingga ke Lautan Atlantik. Sungai Amazon dan cabang-cabangnya membentuk isipadu air sungai yang terbanyak di dunia. Sungai Amazon merangkumi kira-kira 20% jumlah air yang dibawa oleh sungai ke lautan. Sebahagian Hutan Hujan Amazon ditebang kerana kegiatan keluaran kayu balak.

Puncak tertinggi di legeh Amazon ialah puncak gunung Yerupajá pada aras 6,635 m (21,768 kaki).

Lembangan sungai ini terbahagi kepada Amazônia Legal Brazil, Amazon Peru, Kawasan Amazon Colombia, bahagian-bahagian di Bolivia, Ecuador dan negeri Amazonas di Venezuela.

Flora

Rencana utama: Hutan Hujan Amazon

Oleh sebab banyak lagi kawasan Amazon yang belum dijelajahi, maka sebahagian besar tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan aslinya belum diketahui. Tumbuh-tumbuhannya tumbuh dengan lebih padat dan haiwan-haiwannya pula lebih pelbagai kerana curahan hujan yang lebat dan hutan tebal yang dilitupi dengan hutan malar hijau dan konifer yang besar. Sebenarnya, hutan-hutan itu begitu tebal sehingga membentuk sebuah "bumbung" bentukan daun-daun dan dahan-dahan yang menghalang cahaya matahari daripada sampai di tanah yang kekal gelap dan lembap. Hanya pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan yang tahan kegelapan boleh bertumbuh di sini. Pokok bunga anggerik dan bromeliad menghinggapi dahan atau batang pokok dan tumbuhan lain dengan akar udara untuk menghampiri cahaya matahari, bukan sebagai parasit tetapi sebagai epifit. Salah satu pokok buah-buahan tropika yang berasal dari Lembangan Amazon ialah pokok abiu. Terdapat ribuan tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai warna, saiz dan bentuk. Juga terdapat banyak lagi hidupan yang berumahkan tumbuh-tumbuhan ini.