Sejarah Lentingan_jisim_korona

Kesan terawal

Usikan geomagnet terbesar yang pernah dirakam, mungkin kesan lentingan jisim korona, berbetulan dengan suar suria pertama yang diperhatikan, iaitu pada 1 September 1859, kini dikenali sebagai ribut suria 1859. Suar ini diperhatikan oleh R. C. Carrington dan R. Hodgson secara berasingan. Ribut geomagnet ini diperhatikan dengan magnetograf perakam di Kew Gardens. Alat tersebut turut merakam suatu crotchet, iaitu usikan segera ionosfera Bumi dengan mengionkan sinar X lembut. Fenomena ini belum dapat mudah difahami ketika itu kerana berlaku sebelum penemuan sinar X oleh Röntgen serta pengenalan ionosfera oleh Kennelly and Heaviside.

Pengesanan jelas yang pertama

Pengesanan lentingan jisim korona jelas yang pertama ditemui pada 14 Disember 1971, oleh R. Tousey (1973) dari Makmal Penyelidikan Tentera Laut dengan menggunakan Balai Cerap Suria Mengorbit Ketujuh (OSO-7).[5] Imej penemuan ini (256 × 256 piksel) dikumpul pada sebatang tiub vidikon Pengaliran Elektron Sekunder (SEC), dipindahkan ke dalam komputer alatan setelah didigitalkan kepada 7 bit, kemudian dimampatkan dengan menggunakan skema pengekodan panjang jalan ringkas lalu dihantar ke bumi pada 200 bit sesaat. Imej penuh tanpa mampatan pula akan mengambil 44 minit untuk dihantar ke bumi. Telemetrinya dihantar kepada kelengkapan sokongan bumi yang membentuk imej itu pada cetakan Polaroid. David Roberts, seorang juruteknik elektronik yang bertugas dalam operasi seharian NRL dan bertanggungjawab menguji kamera vidikon SEC. Beliau menyangka kameranya rosak kerana imejnya ada bahagian yang lebih cerah daripada biasa. Akan tetapi, apabila beliau memerhatikan pada imej seterusnya tempat cerah itu beralih dari Matahari, dengan segeranya beliau menyedari keanehan itu lalu melaporkannya kepada orang atasan terdekatnya, Dr. Guenter Brueckner,[6] kemudian kepada ketua cawangan fizik suria, Dr. Tousey. Pemerhatian awal alihan korona ataupun fenomena yang diperhatikan ketika melihat gerhana matahari kini difahami sebagai perkara yang sama pada dasarnya.

Peristiwa terkini

Pada 1 Ogos 2010, ketika kitaran suria 24, para saintis di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian (CfA) memerhatikan empat lentingan jisim korona besar berturut-turut yang datang dari hemisfera Matahari yang memandang ke arah Bumi. Lentingan pertama dihasilkan oleh letusan pada 1 Ogos yang dikaitkan dengan tompok matahari 1092 yang cukup besar untuk dilihat tanpa menggunakan teleskop suria. Peristiwa ini menghasilkan aurora-aurora yang hebat pada 4 Ogos.

Rujukan

WikiPedia: Lentingan_jisim_korona http://science.howstuffworks.com/solar-flare-elect... http://www.sciam.com/article.cfm?id=bracing-for-a-... http://www.scientificamerican.com/article.cfm?id=t... http://adsabs.harvard.edu/full/1999BAAS...31.1596H http://solar.physics.montana.edu/press/faq.html http://books.nap.edu/catalog.php?record_id=12507 http://helios.gsfc.nasa.gov/cme.html http://hesperia.gsfc.nasa.gov/summerschool/lecture... http://science.nasa.gov/headlines/y2008/06may_carr... http://science.nasa.gov/headlines/y2008/27may_cart...