Sejarah Lotus_F1

2012: Permulaan

Romain Grosjean di Grand Prix Kanada 2012. di mana beliau mendapat podium keduanya.[6]

Pada 29 November 2011, pasukan mengumumkan bahawa Kimi Räikkönen akan berlumba untuk mereka pada tahun 2012, selepas tidak bertanding dalam Formula Satu selama dua tahun, selepas bersaing dalam Kejuaraan Rali Dunia; Räikkönen menandatangani kontrak dua tahun, dengan pilihan tahun untuk tahun ketiga. Pada 9 Disember, pasukan mengumumkan bahawa juara GP2 Series dan pemandu Renault pada tahun 2009, Romain Grosjean, akan berlumba bersama Räikkönen.

Pada awal musim ini, pasukan terlibat dalam sebuah bantahan ke atas penggunaan konsep sayap belakang "radikal" yang digunakan pada kereta pasukan Mercedes, yang kemudiannya digelar 'sayap belakang F-Duct' atau Double DRS.[7] Pertikaian itu tidak diselesaikan sehingga perlumbaan ketiga di China, apabila steward sebulat suara menolak bantahan rasmi mereka[8], dan Lotus kemudiannya mengesahkan mereka tidak akan merayu terhadap keputusan itu.[9]

Lotus memulakan musim ini dengan kuat apabila Grosjean mendapat tempat ketiga pada pusingan kelayakan di Australia, tetapi insiden pada pusingan pertama di Australia dan Malaysia menghancurkan peluangnya untuk mendapat mata pertamanya dalam Formula Satu. Di China, Räikkönen berada di tempat kedua, namun akhirnya gagal mendapat sebarang mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-14. Di Bahrain, Lotus mendapat podium pertama pada musim ini selepas Räikkönen dan Grosjean mendapat tempat kedua dan ketiga masing-masing. Di Monaco, Grosjean terlibat dalam sebuah insiden pada pusingan pertama tetapi di Kanada, strategi yang baik membolehkan Grosjean mendapat tempat kedua, dan ia merupakan keputusan terbaiknya dalam Formula Satu. Pada perlumbaan seterusnya di Valencia, Grosjean berada di tempat kedua, namun masalah mekanikal menyebabkan beliau bersara, tetapi Räikkönen tidak mengalami sebarang masalah dan sekali lagi mendapat tempat kedua.

Di Jerman, Hungary dan Belgium, Räikkönen mendapat tiga podium berturut-turut. Di Hungary, beliau dan Grosjean bertarung selepas keluar dari pit. Akhirnya Räikkönen mendahului Grosjean, dan mendapat mendapat tempat kedua, manakala Grosjean mendapat podium ketiganya dengan mendapat ketiga.

Di Grand Prix Belgium, Grosjean menyebabkan perlanggaran yang menyebabkan Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Sergio Pérez dan Grosjean sendiri untuk bersara. Insiden tersebut bermula apabila Grosjean berlanggar dengan Hamilton sebelum ke selekoh La Source. Selepas perlumbaan, Grosjean telah digantung satu perlumbaan, dan tidak boleh berlumba di Monza. Untuk perlumbaan tersebut, beliau telah digantikan oleh pemandu simpanan Lotus, Jérôme d'Ambrosio.

Selepas hampir memenangi perlumbaan di Bahrain, Räikkönen memenangi perlumbaan pertama pasukan di Grand Prix Abu Dhabi. Ia juga adalah kemenangan pertamanya selepas kembali ke Formula Satu. Setelah mendapat mata dalam 19 daripada 20 perlumbaan, dan mendapat 7 podium (termasuk kemenangan di Abu Dhabi), Räikkönen mendapat tempat ketiga dalam kejuaraan pemandu dan Lotus berada di tangga keempat dalam Kejuaraan Pengeluar.

2013: Lebih banyak kejayaan

Pada 29 Oktober 2012, Lotus F1 mengesahkan bahawa Räikkönen akan terus berlumba untuk mereka bagi musim 2013. Romain Grosjean akan terus menjadi rakan sepasukannya bagi musim 2013. Di Grand Prix Australia 2013, Lotus memenangi perlumbaan pertama mereka pada musim ini, dengan usaha cemerlang Räikkönen, yang memulakan perlumbaan di tempat ketujuh. Dengan ini, Räikkönen mendahului tangga Kejuaraan Pemandu dan Lotus berada di tangga kedua dalam Kejuaraan Pengeluar. Romain Grosjean, yang memulakan perlumbaan di tempat kelapan, akhirnya mendapat tempat kesepuluh selepas mengalami masalah dengan keretanya.

Selepas Räikkönen dihukum kerana menghalang Nico Hülkenberg pada pusingan kelayakan dan Grosjean gagal untuk memasuki Q3, Grand Prix Malaysia menyaksikan Lotus hanya berada di tempat kesepuluh dan kesebelas pada petak permulaan. Mereka akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan keenam.

Di Grand Prix China, Räikkönen mendapat tempat kedua, walaupun jatuh dua tempat pada petak permulaan dan mengalami kerosakan pada keretanya semasa bersaing bersama Sergio Pérez; Grosjean mendapat tempat kelapan.

Di Grand Prix Bahrain, kedua-dua pemandu gagal menunjukan prestasi yang baik pada pusingan kelayakan, namun seperti mana ketua pasukan, Éric Boullier, telah menjangkakan, Lotus mempunyai kadar yang baik pada perlumbaan dan kedua-dua pemandu menamatkan perlumbaan di atas podium. Perlumbaan ini menyaksikan tempat ketiga teratas yang sama seperti tahun sebelumnya.