Pemerintahan Louis_XIV_dari_Perancis

Perang dengan Sepanyol masih berterusan. Pihak Perancis menerima bantuan perang daripada England yang ketika itu diperintah oleh Lord Pelindung Oliver Cromwell. Pada tahun 1658, perikatan Inggeris-Perancis mencapai kemenangan dalam Perang Dunes. Perjanjian Pyrenees (1659) yang menyusul menetapkan Pyrenees sebagai sempadan antara Perancis dan Sepanyol. Menurut syarat-syarat perjanjian ini, Sepanyol menyerahkan berbagai-bagai provinsi dan bandar di Belanda Sepanyol serta Roussillon kepada Perancis, dan menandakan perubahan dalam imbangan kuasa, dengan kemerosotan Sepanyol dan kebangkitan Perancis.

Melalui perjanjian tersebut, Louis XIV kemudian berkahwin dengan Maria Theresa (Marie-Thérèse d'Autriche), puteri kepada Felipe IV dari Sepanyol (16211665) pada 9 Jun 1660. Di bawah syarat-syarat kontrak perkahwinan, Maria Theresa bersetuju membayar hantaran kahwin yang besar sebanyak 50,000 écu emas melalui tiga ansuran dan sebagai balasan, Louis XIV bersetuju melepaskan semua tuntutan terhadap Pemerintahan Beraja Sepanyol dan wilayah-wilayahnya. Bagaimanapun, hantaran kahwin itu tidak dapat dilunaskan kerana Sepanyol muflis dan secara teori, menyebabkan pelepasan tersebut batal dan tak sah.

Marie-Therese dari Austria, Infanta Sepanyol dan Permaisuri Perancis

Selepas peperangan yang berpanjangan, perbendaharaan Perancis juga hampir muflis apabila Louis XIV mengambil alih penguasaan kerajaan selepas kematian Premier Ministrenya pada tahun 1661. Baginda melantik Jean-Baptiste Colbert sebagai Contrôleur-Général des Finances pada tahun 1665. Colbert mengurangkan hutang negara melalui pencukaian yang lebih cekap. Cukai-cukai utamanya termasuk aides, douane, gabelle (cukai garam), dan taille (cukai tanah); aides dan douanes merupakan duti kastam. Sedangkan Colbert tidak memansuhkan pengecualian cukai bersejarah yang diberikan kepada golongan-golongan bangsawan dan paderi, beliau berjaya memperbaik kaedah-kaedah untuk memungut cukai.

Colbert juga mempunyai rancangan-rancangan yang meluas untuk mengukuhkan Perancis melalui perdagangan dan perniagaan. Pentadbirannya mendekrikan industri-industri baru dan menggalakkan pengilang-pengilang dan pereka-pereka. Colbert juga membuat pembaikan kepada tentera laut, perkapalan perdagangan, lebuh raya dan laluan air. Oleh itu, beliau ditempatkan sebagai salah satu daripada bapa-bapa merkantilisme, aliran fikiran mengenai perdagangan dan ekonomi — sebenaranya, "merkantilisme" dipanggil Colbertisme di Perancis..

Louis XIV terbukti merupakan seorang yang amat boros, dan memperuntukkan banyak wang untuk membiayai kerajaannya. Baginda menjadi penaung seni, dan membiayai tokoh-tokoh kesusasteraan dan kebudayaan seperti Jean-Baptiste Poquelin (atau "Moliere"), Charles Le Brun, dan Jean-Baptiste Lully. Louix XIV juga merupakan penaung untuk Académie Française, dan menjadi "Pelindung"nya.

Louis XIV menitahkan pembinaan kompleks tentera yang dikenali sebagai Hotel des Invalides untuk memberikan perlindungan kepada pegawai-pegawai dan askar-askar yang telah berkhidmat dengan taat setia dalam angkatan tenteranya tetapi kini telah tidak berdaya, baik disebabkan oleh kecederaan mahupun disebabkan oleh usia. Walaupun kaedah-kaedah farmaseutik ketika itu masih tidak maju, Hotel des Invalides sering merintis rawatan-rawatan baru dan menetapkan piawai yang baru, berbanding dengan gaya rawatan hospis yang kasar pada zaman itu. Louis XIV menganggap pembinaan Hotel des Invalides sebagai salah satu pencapaian pemerintahannya yang teragung. Bersama-sama dengan Chateau de Versailles, kedua-dua ini merupakan salah satu daripada monumen Eropah yang terbesar serta termahal yang menyanjung raja serta negaranya. Baginda juga memperbaik Chateau du Louvre, serta banyak tempat kediaman diraja yang lain.