Luak

Luak adalah kawasan pentadbiran mengikut Adat Melayu Negeri Sembilan. Terdapat 14 luak di Negeri Sembilan ketika ini, di mana empat luak yang utama ialah Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau. Setiap empat luak utama berkenaan diketuai oleh Pembesar Memerintah yang bergelar Undang.Sebuah lagi luak utama di Negeri Sembilan ialah Tampin, diketuai oleh seorang Pembesar Memerintah yang dikenali sebagai Tunku Besar Tampin. Semua luak itu dikategorikan dalam Lingkungan Tanah Berundang kerana diperintah oleh Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan.Luak kecil lain yang berada dalam Lingkungan Tanah Berundang ialah Linggi di bawah naungan Sungei Ujong, manakala luak Gemencheh, Jelai , Air Kuning , Kepis , Pasir Besar dan Palong bernaung di bawah jajahan takluk Johol.Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pula memerintah luak yang berada dalam Lingkungan Tanah Mengandung iaitu, Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir, Inas dan Jempol dengan pusat pemerintahannya terletak di Seri Menanti.