Sejarah Majlis_Perbandaran_Seremban

Sebelum zaman pendudukan Jepun, peranan Unit Penguasa Tempatan Seremban (dikenali sebagai Lembaga Kesihatan - (1897) terletak dibawah pentadbiran Residen yang ditubuhkan melalui Warta Kerajaan No. 285 bertarikh 15hb. September 1899) masih lagi terhad kepada menyediakan keperluan asas sahaja. Namun selepas Perang Dunia Ke-II, pembangunan bandar Seremban begitu pesat dimana perubahan demi perubahan yang berlaku memaksa Lembaga Kesihatan yang terhad aktivitinya diubah menjadi sebuah Lembaga Bandaran melalui Warta Kerajaan No. 143 bertarikh 12hb. Januari 1946 sehingga 1953 apabila ia dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Seremban. Pengerusi Lembaga Bandaran Seremban selepas perang ialah seorang pegawai Inggeris, LHN Davis manakala Pegawai Daerah Seremban merangkap Setiausaha Lembaga Bandaran ialah YM Raja Azman Bin Raja Sir Chulan.

Tanggal 1953, Perlembagaan Lembaga Bandaran Seremban telah dimansuhkan oleh Raja-Raja melalui Warta Kerajaan No. 262 bertarikh 14hb. April 1953. Mematuhi Seksyen 51 (1) Ordinan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan 1950, Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang pertama telah diadakan pada 22hb. Ogos 1953. Pentadbiran Majlis Bandaran Seremban pada waktu itu sering silih berganti mengikut suasana politik semasa di bandar Seremban. Bandar Seremban telah dibahagikan kepada 4 kawasan pilihanraya iaitu kawasan Temiang, kawasan "Lake, kawasan Rahang dan kawasan Lobak.

Apabila Negeri Sembilan telah menjadi anggota Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, Seremban dengan sendirinya menjadi pusat pentadbiran, perdagangan dan pertanian bagi Negeri Sembilan. Seremban dianggarkan pada waktu itu (1916) memiliki penduduk seramai 20,000 orang dimana deretan bangunan kedai telahpun mula dibina disepanjang Jalan Paul, Jalan Birch, Jalan Cameron (Jalan Dato` Lee Fong Yee) dan Jalan Setul (Jalan Tun Dr. Ismail).

Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai bergabung membentuk entiti Majlis Bandaraya Seremban pada 1 Januari 2020.[1]