Sejarah Marussia_F1

Latar belakang

Lihat juga: Virgin Racing

Pada tahun 2009, Manor Grand Prix telah diberi kebenaran untuk menyertai Formula Satu pada musim 2010. Sebelum akhir tahun 2010, mereka telah dinamakan semula sebagai Virgin Racing. Pada bulan November 2010, Marussia membeli pegangan kawalan dalam pasukan, dan Virgin Racing dikenali sebagai "Marussia Virgin Racing" bagi musim 2011.[7] Selepas permulaan yang mengecewakan pada musim 2011, Marussia Virgin Racing berpisah dengan Wirth Research, dan menjalani hubungan bersama McLaren Applied Technologies menjelang musim 2012. Pada bulan November 2011, pasukan Marussia Virgin Racing memohon kepada suruhanjaya Formula Satu untuk menukar nama pengeluar mereka bagi musim 2012 dari Virgin ke Marussia, untuk mewakili pemilikan baru mereka.[8] Kebenaran telah diberikan sebelum disahkan pada mesyuarat Majlis Permotoran Sedunia FIA.[9]

Musim 2012

Timo Glock di Grand Prix Malaysia 2012.

Pada 31 Disember 2011, Marussia Virgin Racing mengumumkan bahawa mereka kini dikenali sebagai Marussia F1 Team.[10] Virgin, yang pernah menjadi penaja bagi pasukan itu, mengumumkan bahawa mereka akan kekal bersama pasukan itu selepas pertukaran nama tersebut, dengan adanya logo Virgin pada kereta Marussia bagi tahun 2012.[11] Marussia mengumumkan pada Julai 2011 bahawa Timo Glock telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama Marussia.[12] Glock menyertai musim 2012 bersama graduan GP2 Series, Charles Pic.[13]

Menjelang 29 September 2011, Marussia sudah mempunyai 60% skala modal daripada kereta 2012 mereka untuk digunakan dalam terowong angin McLaren.[14] Menjelang bulan Disember 2011, Marussia telah menerima bahagian pertama untuk kereta mereka.[15] Mereka juga mengumumkan bahawa kereta mereka yang akan digunakan pada tahun 2012 tidak akan mempunyai KERS.[16] Pasukan HRT, iaitu pasukan pesaing Marussia, gagal untuk memulakan perlumbaan di Australia selepas gagal mencatat masa pusingan dalam masa 107%. HRT memutuskan untuk tidak menggunakan KERS dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada sesi kelayakan.

Sebelum sesi ujian yang terakhir bagi musim 2012 di Barcelona, iaitu pada 27 Februari, satu pengumuman telah dibuat di laman sesawang pasukan itu, mengisytiharkan bahawa kereta baru mereka (MR01) telah gagal dalam sebuah ujian perlanggaran.[17] Ini bermakna bahawa mereka akan terlepas untuk menjalani sesi ujian terakhir.

Pada 5 Mac 2012, Marussia mempamerkan MR01 yang baru di Silverstone.[18] Reka bentuk kereta tersebut telah diketuai oleh perunding teknikal, Pat Symonds. Marussia ialah pasukan kedua terakhir untuk mempamerkan kereta musim 2012. Ini berlaku kerana ujian kemalangan mereka gagal, dan bermakna kereta tersebut tidak boleh digunakan dalam acara ujian pra-musim. Ujian itu diluluskan sebelum majlis pelancaran dan sebelum perlumbaan pembuka tirai musim 2012.

Ketika pemandu ujian, Maria de Villota, menguji MR01 di Duxford Airfield pada 3 Julai 2012, beliau terhempas ke pintu lif pengangkut pasukan dan mengalami kecederaan serius.[19] Beliau ketika itu sedang menjalankan sebuah ujian aerodinamik sebagai persediaan untuk Grand Prix British. Pada 4 Julai 2012, Marussia telah mengesahkan bahawa Maria de Villota telah kehilangan mata kanannya akibat kemalangan tersebut.[20] Di Spa, Charles Pic menetapkan masa pusingan terpantas pada sesi latihan bebas kedua, dan Glock mendapat tempat keenam. Di Singapura, Timo Glock mendapat keputusan terbaik Marussia setelah mendapat tempat ke-12, dan ia melonjakkan Marussia ke tangga kesepuluh dalam Kejuaraan Pengeluar Dunia, di hadapan Caterham dan HRT.

Walau bagaimanapun, pada perlumbaan terakhir musim di Brazil, Vitaly Petrov, yang berlumba untuk Caterham, mendapat tempat ke-11, dan Caterham menuntut kembali tempat kesepuluh dalam Kejuaraan Pengeluar Dunia serta menjatuhkan Marussia ke tangga kesebelas dalam kejuaraan tersebut.

Musim 2013

Jules Bianchi memandu untuk Marussia di Grand Prix Malaysia 2013.

Pada 18 Disember 2012, Marussia mengumumkan bahawa Max Chilton akan membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu pada musim 2013, dengan mengantikan Charles Pic. Timo Glock meninggalkan Marussia sebelum musim 2013 bermula atas "sebab-sebab komersial". Luiz Razia juga meninggalkan pasukan selepas mengalami masalah dengan penaja, dan digantikan oleh Jules Bianchi bagi musim 2013. Pada 14 Mac 2013, pasukan mengumumkan bahawa Rodolfo González akan menjadi pemandu simpanan mereka bagi musim ini.[21] Untuk perlumbaan pertama di Australia, kedua-dua kereta melayakkan diri di hadapan pasukan pesaing, Caterham, manakala di Grand Prix Malaysia, Bianchi mendapat tempat ke-13.

Rujukan

WikiPedia: Marussia_F1 http://adamcooperf1.com/2011/11/03/caterham-lotus-... http://www.autosport.com/news/report.php/id/88125 http://www.autosport.com/news/report.php/id/93317 http://www.autosport.com/news/report.php/id/95840 http://www.autosport.com/news/report.php/id/96672 http://www.f1sa.com/index.php?option=com_content&v... http://www.formula1.com/news/headlines/2012/3/1307... http://www.grandprix.com/ft/f12011review-virgin.ht... http://www.insideview.com/directory/manor-grand-pr... http://www.marussiaf1team.com