Trivia Masjid_Diraja_Sultan_Suleiman

Tempat wuduknya adalah yang asal, tetapi kolah wuduk telahpun diubahsuai. Kolah yang asal berada pada aras tanah. Kolah sekarang telah dinaikkan ke paras 600mm dan disediakan pili air. Pintu pagar besi dekoratif di setiap laluan masuk ber'arch' adalah yang asal.

Lantai asal Masjid Diraja Sultan Suleiman disudahi dengan marmar putih dengan kambi (skirting) marmar setinggi 400mm. Sayang sekali ianya telah ditutupi dengan jubin baru.

Mihrab Masjid Sultan Suleiman telah diubahsuai. Mihrab asal berlantaikan marmar dan mempunyai pancaran cahaya lampu dari lantai tersebut. Sekarang ini, seperti semua masjid-masjid di Malaysia, ruang solat utama Masjid Sultan Suleiman sehingga ke mihrab disudahi dengan permaidani. Dinding mihrab disaluti dengan plaster gypsum dekoratif .

Mimbar kayu keras dengan susur tembaga asli dekoratif adalah yang asal. Unsur-unsur gereja Eropah masih jelas terlihat didalam masjid ini. Antara pengaruh gaya seni bina Barat yang dapat dilihat pada masjid ini ialah ukiran di mimbar yang nampak seolah-olah seperti salib sekiranya diperhatikan dengan teliti. Namun, ukiran tersebut tidak boleh dibuang kerana ia akan merosakkan keasliannya. Untuk itu, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan menutup ukiran tersebut dengan ayat Kursi[1].

Info menarik untuk diketahui, ditepi masjid terdapat tangga yang digelar tangga diraja iaitu tangga yang menghubungkan Istana Alam Shah dan Makam Diraja Klang. Unsur-unsur lama yang masih dikekalkan ialah cermin berwarna-warni yang boleh dilihat di bahagian atas kubah masjid.

Walaupun, sudah berusia lebih separuh abad, bangunan masjid ini masih kukuh dan teguh. Misalnya, pintu besi yang terdapat di sekitar masjid tidak pernah ditukar melainkan ditukar dengan cat baru. Begitu juga dengan mimbar yang diperbuat daripada kayu cengal dan chandeliar masih bertahan sehingga ke hari ini. Batu-bata dan marmar yang diimport dari negara-negara Islam seperti Turki menjadikan suasana pengudaraan dalam masjid nyaman dan menenangkan.