Cerita Mirmo_Zibang!

Katie (Kaede) Minami adalah seorang pelajar perempuan tahun kedua sekolah menengah rendah (tingkatan dua) yang ceria dan cergas. Namun, Katie sering terasa malu apabila bersama rakan lelaki yang sekelas, maka agak susah untuk dia berdating.

Suatu hari, dalam perjalanan pulang ke rumah, Katie memasuki sebuah kedai misteri dan membeli sebiji mag koko berwarna biru. Setibanya di rumah, dia melihat di permukaan mag dan mendapati catatan yang tertera padanya: "Jika anda menyebut mesej ini sambil mencurahkan minuman koko panas ke dalam mag ini, seekor pari-pari cinta (muglox) akan muncul dan menunaikan apa-apa yang anda idamkan." Meskipun tidak percaya, Kaede terus mengikut kaedah tersebut lalu meluahkan impiannya untuk menjadi teman wanita Dylan (Setsu) Yuki, pujaan perempuan dalam kelas. Maka munculnya seekor pari-pari cinta bernama Mirmo (Mirumo). Mulanya Katie takut akannya namun lambat-laun, memahami bahawa Mirmo itu adalah muglox. Katie juga mendapati bahawa Mirmo lebih gemar makan coklat dan berbuat nakal daripada menolong Katie.

Mirmo, nampaknya, merupakan putera raja kepada dunia muglox. Oleh sebab bimbang akan prospek berkahwin dengan Rima (Rirumu), bakal pengantin puterinya, Mirmo melarikan diri dari dunia muglox. Malangnya, Mirmo juga telah dijejaki Rima, Yatch si pencari orang, dan sekelompok muglox yang berbagai-bagai ragam. Maka berubahnya zaman persekolahan Katie dan rakan-rakannya.