Zaman Mitos_Cina

Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja

Sewaktu atau selepas zaman Nuwa dan Fuxi, datangnya zaman Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja (三皇五帝). Para pemerintah legenda ini memerintah dari sekitar tahun 2850 SM hingga 2205 SM, sebelum dinasti Xia.

Nama-nama Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja ini banyak berbeza mengikut sumbernya, tetapi yang paling diterima umum (dipetik dari Shangshu) adalah seperti berikut:

  • Tiga Tokoh Mulia (Huang):
    • Fuxi (伏羲) - Teman Nüwa.
    • Shennong (神農) - "Petani Dewa" yang dikatakan mengajarkan pertanian dan perubatan kepada masyarakat kuno.
    • Huang Di (黃帝) - "Raja pertama" bangsa Cina.
  • Lima Maharaja (Di):
    • Shaohao (少昊) - Ketua Dongyi (Gasar Timur).
    • Zhuanxu (顓頊) - Cucunda Huang Di.
    • Di Ku (帝嚳) - Cicit Huang Di; anak saudara Zhuanxu.
    • Yao (堯) - Anakanda Di Ku. Kekandanya mewarisi takhta Di Ku, tetapi turun takhta setelah didapati tidak memerintah secara berkesan.
    • Shun (舜) - Yao mengetepikan anakanda sendiri untuk melantik Shun sebagai pewarisnya kerana kebolehan dan kemurnian Shun.

Kesemua pemerintah ini disanjung tinggi sebagai pemimpin yang tinggi kesusilaan dan kemurniannya, supaya dicontohi oleh raja-raja dan maharaja-maharaja yang selanjutnya. Apabila Qin Shi Huang menyatukan China pada 221 SM, baginda percaya bahawa segala pencapaiannya telah mengatasi apa yang dikecapi oleh semua raja sebelumnya. Baginda menggabungkan gelaran kuno Huang (皇) dan Di (帝) untuk membentuk gelaran baru, iaitu Huangdi (皇帝), yakni "Maharaja".

Banjir Raksasa

Rencana utama: Da Yu

Shun menyerahkan kepimpinan puak Huaxia kepada Yu (禹). Sungai Kuning seringkali melimpah, dan pernah menyebabkan banjir besar pada zaman Yao. Ayahanda Yu, Gun, ditugaskan mengawal banjir oleh Yao, tetapi gagal meringankan masalah itu selepas sembilan tahun. Beliau dihukum mati oleh Shun, maka Yu mengambil alih tempat bapanya, lalu memimpin rakyat supaya membina terusan dan tetambak. Selepas 13 tahun menitis peluh dan darah, akhirnya masalah banjir diatasi di bawah perintah Yu. Shun menawarkan tanah Xia (kini Kaunti Wan di Henan) kepada Yu. Selepas kemangkatannya, Shun menyerahkan kepimpinan kepada Yu. Sumber utama kisah Yu dan Banjir Raksasa ini datangnya dari Rancangan Yu Agung dalam Shangshu (尚書·大禹謨). Atas jasa pencapaiannya kerana meleraikan Banjir Raksasa, Yu mendapat gelaran Da Yu atau "Yu Agung" (大禹). Baginda juga dikenali sebagai Maharaja Yu (帝禹), sama seperti para pemerintah yang sebelumnya.

Dinasti Xia

Rencana utama: Dinasti Xia

Selepas Yu mangkat, kepimpinannya tidak diserahkan kepada timbalannya, tetapi diwariskan kepada anakandanya, iaitu Qi. Sumber-sumber bertentangan pendapat tentang bagaimana Qi mendapat jawatan pemerintah. Kebanyakan versi sepakat bahawa Yu mula-mula menetapkan timbalannya, Gao Yao (皋陶), sebagai pewarisnya, tetapi Gao Yao mati sebelum baginda, jadi terpaksalah Yu melantik anakanda Gaotao, itu Bo Yi (伯益) sebagai pewaris. Satu versi menceritakan bahawa semua rakyat yang setia kepada Yu lebih mengagumi Qi daripada Bo Yi, maka Yu menyerahkan kuasa kepada Qi. Satu lagi versi menegaskan bahawa Bo Yi menawarkan jawatan itu kepada Qi secara keupacaraan, dan akhirnya Qi menerimanya walaupun di luar kebiasaan, kerana beliau direstui oleh para pemimpin lain. Satu lagi versi menyatakan bahawa Qi membunuh Bo Yi lalu merampas tampuk kepimpinan.

Versi yang paling diterima secara meluas di China adalah: Yu melantik Bo Yi sebagai pewaris, kerana Bo Yi menjadi terbilang kerana mengajar rakyat menggiring haiwan dengan api ketika berburu. Bo Yi mendapat sokongan rakyat dan Yu tidak boleh mudah menentangnya. Akan tetapi, Yu memberikan jawatan tanpa kuasa kepada Bo Yi, sementara menyerahkan segala kuasa pemerintahan negara kepada anakandanya. Lama-kelamaan, kemasyhuran Bo Yi semakin pudar, manakala anakanda Yu, Qi menjadi lebih ternama. Maka Yu melantik Qi sebagai pewarisnya. Bo Yi tidak rela mengundurkan diri lalu mencabar Qi untuk merebut tampuk kepimpinan, maka tercetusnya perang saudara. Atas sokongan padu dari rakyat, Qi menumpaskan bala tentera Bo Yi, membunuh Bo Yi, dan mengukuhkan pemerintahannya.

Pewarisan Qi ini mematahkan kelaziman pewarisan atas kepujian yang terdahulu, serta memulakan apa yang dikatakan sebagai wangsa pertama sejarah China, iaitu "Xia" yang dinamakan sempena ibu kota Yu.

Dinasti Xia merupakan zaman yang separa mitos. Catatan Sejarawan Agung dan Sejarah Buluh merakamkan nama-nama 17 raja Dinasti Xia. Bagaimanapun, tiadanya bukti kukuh mengenai ibu kotanya atau kewujudannya sebagai sebuah negara walau betapa besar pun. Bukti arkeologi tamadun bandar Cina sebelum Dinasti Shang kini masih belum ditemui.

Dinasti Shang

Rencana utama: Dinasti Shang

Jie, raja terakhir dinasti Xia, dikhabarkan sebagai pemerintah kuku besi yang suka menumpahkan darah. Seorang pemimpin puak bernama Tang memberontak melawan kekuasaan Xia, lalu akhirnya menggulingkan Jie dan mengasaskan Dinasti Shang yang bertapak di kota Anyang. Pustaka kelima Mozi menyifatkan berakhirnya dinasti Xia dan bangkitnya dinasti Shang. Ketika zaman pemerintahan Raja Jie dari Xia, persekitaran mengalami perubahan hebat. Peredaran matahari dan bulan berubah, musim-musim berkecamuk tak keruan dan lima jenis biji-bijian menjadi kering. Pelesit meraung di merata negara, dan burung jenjang memekik-mekik selama sepuluh malam lebih. Shang Tang diperintah oleh Syurga untuk mendapatkan mandat syurga dari dinasti Xia. Akhirnya dinasti Xia hilang moralnya dan Syurga menentukan kesudahannya. Maka, Shang Tang diperintah untuk menghancurkan Xia dengan dijanjikan bantuan Syurga. Dalam kegelapan, kubu Xia dimusnahkan oleh Syurga, jadi Shang Tang mudah memenangi perangnya.[1]

Dinasti Shang memerintah dari ca. 1766 SM hingga ca. 1050 SM, dan berkesudahan dengan raja terakhirnya yang zalim, Zhou dari Shang, yang digulingkan oleh Dinasti Zhou. Berakhirnya dinasti Shang dan penubuhan Dinasti Zhou menjadi titik tengah cereka mitos yang berpengaruh, iaitu Pemasyhuran Dewa-Dewi (封神演義). Peralihan kuasa ini juga diperikan dalam pustaka kelima Mozi. Sewaktu pemerintahan Shang Zhou, tahap kesusilaan dan keabaiannya membuat korban tepat pada masanya tidak tertahan oleh Syurga. Maka negara dihujani lumpur sepuluh hari sepuluh malam, sembilan kawah (yang kononnya digunakan dalam bidang astronomi atau menyukat pergerakan bumi) beralih arah, pontianak muncul dan hantu meraung pada waktu malam. Ada wanita yang bertukar menjadi lelaki, negara dihujani daging dan jalan rayanya dilitupi semak berduri. Seekor burung merah mengutuskan pesanan "Syurga menitahkan Raja Wen dari Zhou untuk menghukum Yin dan merampas kerajaannya". Sungai Kuning membentuk peta, dan bumi membawakan kuda dewa. Apabila Wu menjadi raja, tiga dewa menghadap baginda dalam mimpi untuk memaklumkan baginda bahawa mereka melemaskan Shang Zhou dalam arak supaya Raja Wu boleh menyerangnya. Sekembalinya daripada kemenangannya, baginda dikurniakan lambang burung kuning dari Syurga.

Berbeza dengan dinasti Xia, adanya bukti arkeologi yang jelas mengenai sebuhah pusat kerajaan di Yinxu di Anyang, dan sebuah tamadun bandar pada dinasti Shang. Namun demikian, kronologi sebenar tiga dinasti pertama masih menjadi titik pertikaian.