Sejarah Monorel_KL

KL Monorail bermula sebagai projek KL People-mover Rapid Transit System (KL PRT). Ia merupakan sebahagian daripada komponen terpenting projek hartanah bersepadu dan pembangunan semula Sungai Klang yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Linear City (Bandar Berjajar Kuala Lumpur) yang dibatalkan pembinaannya.

KL PRT adalah sebuah projek pakatan bersama Malaysia-Jepun milik KL PRT Sdn Bhd. Ia diterajui Berjaya Corporation Berhad dengan Hitachi Ltd dari Jepun sebagai pembekal sistem teknologi monorel KL PRT. Pada 29 Oktober 1996, kerajaan Malaysia telah menyerahkan konsesi 40 tahun kepada KL PRT Sdn Bhd untuk membangun, membina, mentadbir, menyelenggara dan mengendalikan perkhidmatan monorel tersebut.

Projek pembangunan KL PRT terbahagi kepada dua fasa pembinaan. Fasa pertama melibatkan pembinaan sebuah depot dan landasan monorel dalam bandar sepanjang 8.6 kilometer dengan 11 buah stesen perhentian. Fasa kedua pula melibatkan pembinaan 11 buah stesen perhentian dan landasan monorel 12 kilometer di sepanjang tebing Sungai Klang projek pembangunan Kuala Lumpur Linear City. Kerja-kerja pembinaan fasa pertama KL PRT bermula pada tahun 1997. Walau bagaimanapun, ia tergendala akibat krisis kewangan Asia.

Berikutan itu, satu langkah telah diambil bagi menangani krisis tersebut sekaligus mengurangkan bebanan perbelanjaan kerajaan Malaysia. Pada tahun 1998, kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk membekukan semua projek infrastruktur dan hartanah yang masih di peringkat perancangan. Ia termasuk pembatalan projek pembangunan Kuala Lumpur Linear City dan fasa kedua KL PRT. Krisis kewangan Asia juga telah memaksa KL PRT Sdn Bhd menyemak semula pelan pembangunan KL PRT akibat kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia. Ia menyaksikan KL PRT Sdn Bhd membatalkan perjanjian pakatan dengan Hitachi Ltd sebagai pembekal sistem teknologi monorel KL PRT. Berikutan itu, syarikat pakatan KL PRT Sdn Bhd dibubarkan dan sebuah syarikat baru KL Monorail System Sdn Bhd ditubuhkan.

Kerja pembinaan disambung pada bulan Julai 1998 oleh MTrans Holdings, yang menghasilkan kelengkapan sendirinya bagi meringankan kos penyiapan,[1] akhirnya aliran ini selesai dibina setelah memakan kos RM1,180 juta. Apabila perkhidmatan dilancarkan pada tahun 2003, syarikat induk dan pemilik KL Monorail, iaitu KL Infrastructure Group, bersetuju untuk memegang konsesi 40 tahun bagi mengendali sistem monorel.

Stesen monorel Kuala Lumpur.

Kemalangan David Cheliah

Sebelum pembukaan KL Monorail satu kemalangan berlaku melibatkan roda keselamatan dari sebuah tren jatuh dan terkena seorang pengguna jalan raya yang sedang berjalan di bawah viaduk monorel. Mangsa yang bernama David Cheliah, seorang wartawan, menderita akibat kecederaan yang perlu dirawat di hospital. Hal ini dilangsaikan di luar mahkamah di bawah syarat-syarat yang tidak diketahui umum.

Syarikat monorel melaporkan bahawa mana-mana insiden sedemikian adalah "tidak mungkin" sama sekali kerana 6 bol pada roda perlu dicabut untuk menyebabkan kejadian tersebut. Lagipun, penyemakan terhadap roda keselamatan lain pada tren yang terlibat tidak menimbulkan apa-apa isu.

Akibat kemalangan ini, pelancaran monorel ditunda.

Kedudukan kewangan

Sejak bermulanya operasi KL Monorail, KL Infrastructure Group banyak menanggung kerugian akibat susut nilai dan kos pembayaran faedah.[2] Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2004 sahaja, KL Infra mencatat kerugian bersih RM46.24 juta daripada hasil jualan RM15.08 juta.[3] KL Infra juga pernah menerima pinjaman kerajaan berjumlah RM300 juta serta pinjaman prasarana bernilai RM260 juta dari Bank Pembangunan Malaysia. Tambahan pula, KL Infra juga bercadang untuk membeli tiga anak syarikat milik MTrans bagi meningkatkan mutu perniagaannya, namun gagal setelah Kumpulan Scomi terdahulu mengambil alih beberapa daripada syarikat yang disasarkannya.[2]

Pengambilalihan oleh kerajaan

Pada bulan April 2007, perbincangan dilangsungkan antara KL Infra dan kerajaan dan Bank Pembangunan Malaysia bagi menjual aset dan liabiliti KL Monorail kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad yang kini memiliki Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang, serta juga 10% daripada saham KL Infra. KL Infra dikatakan berniat untuk keluar dari perniagaan monorel Malaysia. Pengambilalihan ini merupakan sebahagian rancangan besar kerajaan untuk mengingkatkan mutu pengangkutan awam negara.[2][4]

SPNB menyatakan persetujuan secara prinsip bagi pengambilalihan KL Monorail pada 22 Disember 2006 dan satu persidangan susulan diadakan pada 6 Februari 2007 dengan kerajaan mengenai pengambilalihan aset beroperasi dan pegangan liabiliti pinjaman. Audit ketepatan tanggungjawab telah dilakukan dari 5 Mac hingga 27 April 2007 oleh para perunding yang dilantik oleh kerajaan. Selepas persetujuan mengenai pengambilalihan ini, BPMB memberi KL Monorail penunggakan masa sehingga 29 April 2007 bagi pembayaran faedah yang berjumlah RM4,244,801.91 yang asalnya harus dilangsaikan pada 29 Disember 2006.[5]

Namun, pada 26 Mac 2007, KL Infra diberitahu oleh Bank Pembangunan Malaysia bahawa bank itu tidak akan lagi menerima apa-apa rayuan penunggakan bagi pembayaran faedah dan seterusnya pada 27 April 2007, bank itu menegaskan bahawa tiada lagi moratorium bagi pembayaran faedah akan dibenarkannya. Pada 29 April 2007, KL Monorail tidak mampu membayar balik faedah cagaran yang sudah tiba tarikh luputnya. [5]

Pada 3 Mei 2007, KL Monorail diisukan notis kegagalan membayar hutang oleh Bank Pembangunan Malaysia yang hendak menerima bayaran semula jumlah pinjaman pokok keseluruhan bernilai RM609,616,423.73 serta faedah dimodalkan sebanyak RM296,428,910.88, menjadikan jumlahnya RM906,045,334.61. Syarikat itu diberi tujuh hari mulai hari itu bagi membayar balik jumlah keseluruhannya, namun masih gagal berbuat demikian. Pada 14 Mei 2007, Mohd Anwar Bin Yahya dan Cho Choo Meng dinamakan sebagai penerima dan pengurus oleh Amanah Raya Berhad, iaitu Pemegang Amanah Jaminan Bank Pembangunan Malaysia. Namun begitu, proses pengambilalihan ini dianggap masih diteruskan kerana KL Infra telah menyatakan perbincangannya dengan kerajaan dan Bank Pembangunan Malaysia masih diadakan untuk menangani cadangan pengambilalihan KL Monorail oleh SPNB berdasarkan perbincangan dan persetujuan secara prinsip awalnya.[6]

Dagangan KL Infra digantung sejak 15 Mei 2007.[7] Pada hari yang sama, lembaga KL Infra mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat tersebut mendapati dirinya tidak mampu membayar segala hutangnya dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.[8]

Rujukan

WikiPedia: Monorel_KL http://announcements.bursamalaysia.com/EDMS/EdmsWe... http://announcements.bursamalaysia.com/EDMS/EdmsWe... http://announcements.bursamalaysia.com/EDMS/EdmsWe... http://announcements.bursamalaysia.com/EDMS/annweb... http://www.theedgedaily.com/cms/content.jsp?id=com... http://www.btimes.com.my/Current_News/BT/Wednesday... http://www.monorail.com.my http://www.monorail.com.my/pressclippings1.htm http://www.myrapid.com.my/ http://www.nst.com.my/opinion/letters-to-the-edito...