Kerasulan Nabi_Ibrahim_a.s.

Keinginan melihat makhluk mati dihidupkan kembali oleh Allah

Nabi Ibrahim yang sudah berketetapan hati hendak memerangi syirik kaumnya tetapi ingin lebih dahulu mempertebalkan iman dan keyakinannya serta membersihkannya dari keraguan dengan memohon kepada Allah agar diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia menghidupkan kembali makhluk-makhluk yang sudah mati.Berserulah ia kepada Allah: "Ya Tuhanku! Tunjukkanlah kepadaku bagaimana engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang sudah mati." Allah menjawab seruannya dengan berfirman: Tidakkah engkau beriman dan percaya kepada kekuasaan-Ku?." Nabi Ibrahim menjawab:"Betul, wahai Tuhanku, aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu, namun aku ingin sekali melihat itu dengan mata kepala ku sendiri, agar aku mendapat ketenteraman dan ketenangan dan hatiku dan agar makin menjadi tebal dan kukuh keyakinanku kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu."

Allah memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim lalu diperintahkanlah menangkap empat ekor burung, memotong-motongnya dan mencampur-baurkan tubuh burung yang hancur luluh lalu diletakkan di atas puncak setiap bukit dari empat bukit yang saling berjauhan. Setelah itu, diperintahnyalah Nabi Ibrahim memanggil burung-burung tersebut.

Dengan izin Allah dan kuasa-Nya, datanglah berterbangan empat ekor burung itu dalam keadaan utuh bernyawa seperti sedia kala mendengar panggilan Nabi Ibrahim kepadanya lalu hinggaplah empat burung itu di depannya, dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah Yang Maha Berkuasa dapat menghidupkan kembali makhluk-Nya yang sudah mati sebagaimana Dia menciptakannya dari sesuatu yang tidak ada. Dan dengan demikian hilang keraguannya.

Berdakwah kepada pakciknya Azar

Azar, bapa saudara Nabi Ibrahim tidak terkecuali bertuhan dan menyembah berhala bahkan dia ialah pedagang patung-patung yang dipahatnya sendiri dan orang membeli patung-patung itu dijadikan sembahan. Nabi Ibrahim merasa kewajiban pertamanya sebelum berdakwah kepada orang lain ialah menyedarkan bapa saudaranya dulu sebagai orang yang terdekat. Beliau merasakan bahawa bakti kepada bapa saudara mewajibkannya memberi penerangan kepadanya agar melepaskan kepercayaan yang sesat itu dan mengikutinya beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa.


Dengan sopan dan beradab, beliau datang kepada Azar menyampaikan bahwa ia diutuskan oleh Allah sebagai nabi dan rasul dan bahawa beliau telah diilhamkan dengan pengetahuan dan ilmu yang tidak dimiliki oleh Azar. Beliau bertanya apakah yang mendorongnya untuk menyembah berhala padahal dia mengetahui berhala-berhala itu tidak berguna sedikit pun. Diterangkan penyembahan berhala-berhala itu ialah semata-mata ajaran syaitan yang menjadi musuh manusia.

Azar menjadi merah mukanya mendengar kata-kata Nabi Ibrahim yang dianggapnya dosa kerana telah berani mengecam dan menghina kepercayaannya bahkan untuk meninggalkan kepercayaan itu. Dia berkata kepada Nabi Ibrahim dengan nada gusar: "Hai Ibrahim! Berpalingkah engkau dari kepercayaan dan persembahanku ? Dan kepercayaan apakah yang engkau berikan kepadaku yang menganjurkan agar aku mengikutinya? Janganlah engkau membangkitkan amarahku dan cuba mendurhakaiku. Jika engkau tidak menghentikan penyelewenganmu dari agama kami dan tidak engkau hentikan usahamu mengecam dan memburuk-burukkan persembahanku, maka keluarlah engkau dari rumahku ini. Aku tidak sudi bercampur denganmu di dalam suatu rumah di bawah suatu atap. Pergilah engkau dari mukaku sebelum aku menimpamu dengan batu dan mencelakakan engkau."

Penghancuran berhala-berhala

Kegagalan Nabi Ibrahim menyedarkan ayahnya tidak sedikit pun mempengaruhi ketetapan hatinya dan melemahkan semangatnya untuk berjalan terus memberi penerangan kepada kaumnya. Nabi Ibrahim tidak henti-henti mengajak kaumnya berdialog tentang kepercayaan mereka dan mereka sudah tidak berdaya menyanggah alasan-alasan yang dikemukakan Nabi Ibrahim tentang kebenaran ajarannya dan kebatilan kepercayaan mereka. Tetapi mereka tetap berpegang kepada alasan yang mereka hanya meneruskan apa yang nenek moyang mereka lakukan sejak turun-temurun dan sesekali tidak akan melepaskan kepercayaan yang mereka warisi.

Nabi Ibrahim akhirnya merasa tidak bermanfaat lagi untuk berdebat dengan kaumnya yang keras kepala dan tidak mahu menerima keterangan yang dikemukakan oleh beliau. Nabi Ibrahim kemudian merancang akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang dapat dilihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa berhala-berhala betul-betul tidak berguna bagi mereka.

Sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaan Babylon bahawa setiap tahun mereka keluar kota beramai-ramai pada suatu hari keraian dan kebesaran yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekalan makanan dan minuman yang cukup. Mereka bersuka ria dan bersenang-senang sambil meninggalkan kota-kota mereka kosong dan sunyi. Mereka berseru dan mengajak semua penduduk agar keluar meninggalkan rumah dan turut beramai-ramai menghormati hari-hari suci itu. Nabi Ibrahim yang juga turut diajak berpura-pura sakit dan diizinkanlah tinggal di rumah kerana khuatir penyakit Nabi Ibrahim yang dibuat-buat itu akan menular di kalangan mereka.

Apabila sampai masa yang sesuai, dengan membawa sebuah kapak ditangannya, Nabi Ibrahim menuju tempat beribadatan yang sudah ditinggalkan tanpa penjaga. Kemudian dihancurkan patung-patung itu dengan kapak yang berada di tangannya. Patung yang besar ditinggalkannya utuh, tidak diganggu yang pada lehernya dikalungkanlah kapak Nabi Ibrahim itu.

Terperanjat para penduduk, tatkala pulang dari berpesta ria di luar kota dan melihat keadaan patung tuhan-tuhan mereka hancur berserakan di atas lantai. Mereka mengesyaki Nabi Ibrahim kerana jelas beliaulah satu-satunya orang yang tinggal sewaktu semua berada di luar.

Nabi Ibrahim puka berharap agar pengadilannya dilakukan secara terbuka untuk semua warga masyarakat dapat turut menyaksikannya kerana dengan cara demikian, beliau dapat secara berdakwah menyerang kepercayaan mereka yang sesat itu, seraya menerangkan kebenaran agamanya, kalau diantara yang hadir ada yang masih boleh diharapkan terbuka hatinya bagi iman dari tauhid yang ia ajarkan dan dakwahkan.

Hari pengadilan ditentukan dan datang rakyat dari segala pelosok berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan bagi sidang pengadilan itu.

Ketika Nabi Ibrahim datang menghadap Raja Namrud yang akan mengadili ia disambut oleh para hadirin dengan teriakan kutukan dan cercaan, ditanya Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud:"Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami?" Dengan tenang dan sikap dingin, Nabi Ibrahim menjawab:"Patung besar yang berkalungkan kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya." Raja Namrudpun terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata:" Engkaukan tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?" Tibalah masanya yang memang dinantikan oleh Nabi Ibrahim, maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir itu beliau berpidato membentangkan kebathilan persembahan mereka, yang mereka pertahankan mati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu ialah warisan nenek-moyang. Berkata Nabi Ibrahim kepada Raja Namrud itu:"Jika demikian, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudharat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan sembahan kamu itu! Tidakkah kamu berfikir dengan akal sihat bahawa sembahan kamu ialah perbuatan yang keliru oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hinanya kamu dengan sembahan kamu itu."

Setelah selesai, Raja Namrud membuat keputusan bahawa Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup sebagai hukuman, maka berserulah para hakim kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu:"Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhanmu, jika kamu benar-benar setia kepadanya."

Dibakar hidup-hidup

Keputusan telah dijatuhkan. Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup dalam api yang besar. Persiapan bagi upacara pembakaran yang akan disaksikan oleh seluruh rakyat diatur. Tanah lapang bagi tempat pembakaran disediakan dan diadakan pengumpulan kayu bakar dengan banyaknya dengan tiap penduduk bergotong-royong mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang dapat sebagai bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancur Nabi Ibrahim.

Setelah terkumpul kayu bakar tersusun laksana sebuah bukit, berduyun-duyunlah orang datang menyaksikan pelaksanaan hukuman Nabi Ibrahim. Kayu dibakar dan terbentuklah api yang dahsyat. Kemudian dalam keadaan terbelenggu, Nabi Ibrahim diangkat ke atas sebuah bangunan yang tinggi lalu dilemparkan ke dalam kayu yang menyala-nyala itu dengan iringan firman Allah:

"Hai api, menjadilah engkau dingin dan keselamatan bagi Ibrahim."

Sejak keputusan hukuman dijatuhkan sampai saat ia dilemparkan ke dalam bukit api yang menyala-nyala itu, Nabi Ibrahim tetap menunjukkan sikap tenang dan tawakkal kerana iman bahwa Allah tidak akan melepaskan hamba nya menjadi makanan api dan korban keganasan orang-orang kafir. Tatkala Nabi Ibrahim berada dalam api yang dahsyat itu, beliau merasa dingin dan hanya tali dan rantai yang mengikat yang terbakar hangus, sedang tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh api.

Orang ramai tercengang dengan keajaiban ini dan mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud. Malah anak perempuan Raja Namrud sendiri iaitu Puteri Razia mula percaya. Lalu Puteri itupun mengaku di hadapan khalayak ramai bahawa tuhan nabi Ibrahim a.s. ialah tuhan yang sebenar. Mengelak dari kemaraah tentera Namrud yang diarah untuk membunuhnya, Puteri itupun meluru ke arah api yang besar itu lalu berkata "Tuhan Nabi Ibrahim selamatkanlah aku". Puteri Razia pun turut terselamat daripada terbakar. Raja Namrud semakin murka. Sebaik sahaja puteri Razia keluar daripada api, dia diburu. Ini memberi peluang kepada Nabi Ibrahim serta kerluarganya dan anak saudaranya Nabi Luth a.s. untuk melarikan diri.