Cerita Nasruddin

Kisah-kisah Nasruddin terkenal di seluruh Timur Tengah dan menyentuh pelbagai budaya di seluruh dunia. Sebahagian kesar kisah-kisah itu diceritakan sebagai jenaka atau anekdot lucu. Semua kisahnya diceritakan berulang kali di kalangan saudagar dan kafilah di Asia dan dapat didengar di rumah dan di radio. Kisah Nasruddin dapat difahami di pelbagai peringkat; selalu ada jenaka, teladan, dan sedikit sentuhan rohani yang menimbulkan kesedaran. [11]

Berdakwah

Suatu ketika Nasruddin diundang untuk menyampaikan dakwah. Semasa berada di atas mimbar, beliau bertanya, "Adakah anda tahu apa yang akan saya katakan?" Seluruh jemaah menjawab serempak, "Tidak tahu." Nasruddin pun berkata, "Saya tidak berhasrat untuk berdakwah kepada sesiapa yang tidak tahu apa yang akan saya dakwahkan," kemudian turun dari mimbar dan pergi.

Maka jemaah pun berasa malu lalu kemudian memanggil beliau kembali pada hari Jumaat berikutnya untuk kembali berdakwah. Kali ini, Nasruddin sekali lagi mengajukan soalan yang sama, maka jemaah menjawab, "Tahu." Nasruddin berhenti, lalu berkata, "Oleh kerana anda sudah tahu apa yang akan saya katakan, saya tidak akan membuang masa anda lagi." Nasruddin turun dari mimbar meninggalkan mereka.

Kali ini, jemaah benar-benar bingung dan memanggil beliau kembali Jumaat depan. Sekali lagi Nasruddin menanyakan soalan yang sama, para jemaah sekerat menjawab tahu, sekerat lagi menjawab tidak tahu. Nasruddin berseru, "Bagus sekali! Sekarang, bagi yang sudah tahu, sila menceritakan kepada yang belum tahu!" Lantas beliau turun dari mimbar dan beredar.

Siapa yang kamu percaya?

Seorang jiran mengetuk pagar rumah Nasruddin, sehingga bertemu dengan beliau di luar. "Bolehkah, Mullah," tanya si jiran, "kalau saya meminjam keldai Mullah hari ini? Saya perlu menghantar beberapa barang ke bandar berdekatan." Sebenarnya Nasruddin berasa keberatan untuk meminjamkan keldainya, maka beliau menjawab, "Maaf, keldai sudah dipinjamkan kepada orang lain."

Tiba-tiba kedengaran ringkikan keldai dari belakang rumah. Si jiran berkata, "Suara keldai Mullah keluar dari belakang sana." Nasruddin yang terkejut segera menjawab, "Siapa yang kamu percaya, keldai atau Mullah?"[12]

Rasanya sama sahaja

Nasruddin keluar dari kebun anggur sambil membawa dua bakul penuh anggur di atas keldainya, terus dikelilingi oleh sekumpulan kanak-kanak yang mahu mencecap anggur itu. Nasruddin mengambil setangkai anggur dan memberi masing-masing anak sebiji anggur. "Banyak sekali anggur tuan," mengadu kanak-kanak itu, "kenapa beri kami sedikit sahaja?" Nasruddin menjawab, "Apa bezanya makan anggur sebiji dengan sepenuh bakul? Rasanya sama sahaja." Lalu beliau meneruskan perjalanannya.[13]

Tabiat buruk

Suatu hari, semasa Nasruddin sedang minum kopi sambil duduk pada kerusi kegemarannya di sebuah kedai, seorang budak remaja datang dan memukul serbannya sampai jatuh. Seperti tidak berlaku apa-apa, beliau memungut dan memakai semula serbannya. Keesokan harinya, budak itu datang lagi semasa Nasruddin duduk di kerusi kegemaran yang sama dan kembali memukul serbannya sampai jatuh. Sekali lagi, Nasruddin menganggapnya seperti tidak berlaku apa-apa dan memakai semula serbannya. Semasa budak nakal itu melakukannya lagi pada hari yang lain, kawan-kawan Nasruddin menegurnya untuk menghukum budak itu. "Isy, bukan begitu caranya."

Keesokan harinya, seangkatan tentera luar menceroboh bandar sehingga Nasruddin tidak duduk di tempat kegemarannya seperti biasa. Di kerusinya itu duduknya panglima askar penceroboh. Datangnya juga budak nakal seperti biasa memukul serban yang disangka Nasruddin. Tanpa berfikir panjang, panglima segera memenggal kepala budak itu dengan sekali tebas.