Sejarah Newsweek

Penjualan

Pada Ogos 2010, majalah Newsweek tidak lagi dapat bertahan kerana bersaing dengan internet dan majalah Time. Ia kerugian AS$28 juta (RM88.6 juta) 2009 dan perolehan iklan jatuh sebanyak 37 %.[1]

Oleh itu pemiliknya, The Washington Post Co menjual Newsweek kepada jutawan California, Sidney Harman. Syarikat Harman International Industries membekalkan audio kualiti tinggi Harman Kardon. Ketua Eksekutif Newsweek, Donald Graham berharap 325 orang kakitangan Newsweek dikekalkan. Namun, ketua pengarangnya, Jon Meacham meletak jawatan.[2]

Pemberhentian edisi cetakan

Setelah penggabungan dengan sebuah akhbar dalam talian iaitu The Daily Beast, Newsweek mengumumkan pada Oktober 2012 untuk menghentikan edisi cetakannya dan berpindah kepada format digital dengan cetakan terakhir bagi edisi Disember 2012.[3] Muka depan edisi cetakan terakhir (isu 31 Disember 2012), memaparkan bangunan yang pernah menempatkan pejabatnya dengan tanda pagar twitter "#LASTPRINTISSUE" tertulis dengan warna merah putih. Warna ini secara simboliknya menandakan era cetakan Newsweek yang berusia 80 tahun berakhir.

"Pemindahan" Newsweek ke dunia digital menandakan bahawa edisi cetakan bagi majalah dan surat khabar tradisional tergugat dengan para pengiklan serta pembaca mula beralih kepada dunia web. Sejak tahun 2005, edaran Newsweek jatuh hampir separuh kepada lebih kurang 1.5 juta naskhah. Pengiklanan pula turut merosot lebih 80% membuatkannya mengalami kerugian besar.[4] Isu digital Newsweek dipanggil "Newsweek Global". Setiap isu akan dikenakan bayaran US$4.99, sama seperti edisi cetakannya dengan langganan tahunan dikenakan bayaran US$24.99.