Penerbitan Nota_(filem)

Filem ini merupakan filem berbahasa Melayu pertama diarahkan oleh Yasu Tanaka.[4] Ia juga merupakan filem terakhir yang dibintangi oleh Ramli Hassan serta telah didekasikan kepada beliau.[5] Taman Negara Bako telah dipilih sebagai lokasi penggambaran hasil cadangan Ramli Hassan.[6] Pemilihan Maya Karin dan Hans Isaac telah dibuat berdasarkan pengalaman, kecergasan dan kebolehan berbahasa Inggeris bagi kedua-dua pelakon. Filem ini merupakan filem pertama yang menggandingkan kedua-dua pelakon ini.[7] Hans terpaksa dipujuk sebanyak tiga kali oleh pengarah, Yasu Tanaka untuk berlakon di dalam filem ini. Hans ketika tayangan perdana filem ini telah mengumumkan bahawa filem ini merupakan filem terakhir beliau sebagai seorang pelakon.[8] Proses praproduksi mengambil masa selama setahun untuk membolehkan kru mengkaji jadual air pasang surut Sungai Sarawak.[9]

Filem ini telah menjalani penggambaran di Sarawak[10] dan Kuala Lumpur pada April dan Mei 2013.[11] Penggambaran telah memakan masa selama 26 hari. Terdapat satu babak intim antara Hans Isaac bersama Rin Izumi. Hans mengulas ketika pengambaraan babak tersebut, beliau berasa amat janggal kerana melakonkan babak tersebut dengan seorang pelakon yang beliau tidak kenali.[12][13][14][15]Beliau turut memakai pakaian ketat untuk menunjukkan dirinya buncit akibat tekanan perasaan. Hans dan Maya tidak menggunakan solekan sepanjang pengambaraan serta tidak lansung cuba mencari keserasian antara satu sama lain. Ini ialah untuk menghidupkan watak sepasang suami isteri yang sedang menghadapi konflik perkahwinan.[16][17]