Plot Nota_(filem)

Kamal (Hans Isaac) dan Erin (Maya Karin) merupakan sepasang suami isteri yang telah lama menghadapi masalah rumah tangga kerana gagal untuk mendapatkan zuriat, akibatnya mereka jarang berkomunikasi. Mayumi (Rin Izzumi) pula merupakan rakan kepada Erin yang baru dikenalinya beberapa bulan yang lepas dan sering meluahkan perasaan mengenai perkahwinannya kepada M. Ketika ulangtahun perkahwinan yang ke-10, mereka memilih untuk bercuti ke Taman Negara Bako di mana Kamal telah melamar Erin, 10 tahun yang lalu. Setibanya mereka di Kuching, Sarawak, mereka bermalam dahulu di sebuah hotel. Ketika Kamal sedang mandi, Erin telah membaca nota peribadi suaminya itu. Dia mendapati terdapat banyak tarikh yang dibulatkan dan ditulis dengan huruf M. Dia kemudiannya telah membaca sehelai nota yang diasingkan di mana Kamal meluahkan perasaanya iaitu mahu bercerai untuk kebaikan bersama.

Pada pagi hari, mereka menaiki sebuah teksi untuk ke destinasi percutian mereka. Namun, ketika perjalanan, teksi tersebut telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta hitam. Pemandu teksi itu yang marah, meluru keluar untuk bersemuka dengan pemandu kereta yang telah melanggar teksinya itu. Pemandu kereta hitam itu rupa-rupanya merupakan seorang pemungut hutang. Pemandu teksi itu kemudiannya dibelasah oleh oleh pemungut hutang itu dengan bantuan rakannya. Untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa keadaan, Kamal dan Erin keluar dari teksi itu dan lari ke dalam hutan.

Selepas berjaya keluar dari hutan tersebut, mereka berdua mendapati mereka telah sesat. Mereka pun berjalan menyelusuri denai untuk mencari bantuan. Selepas penat berjalan, mereka tiba di sebuah penempatan terpencil. Mereka cuba mencari bantuan dari kanak-kanak yang sedang bermain tetapi tidak dihiraukan oleh mereka. Mereka kemudiannya pergi ke masjid penempatan tersebut. Mereka bertemu dengan Jemat (Ramli Hassan) dan dia menawarkan mereka untuk bermalam di rumahnya. Kamal, pada mulanya enggan dan mahu segera ke Taman Negara Bako tetapi setelah Jemat memberitahu bahawa dirinya merupakan seorang pemandu bot pelancong dan tidak mempunyai kereta, dia akur. Pada malamnya, Erin merasa gelisah setelah mengingati nota yang dibacanya sebelum ini. Erin berjalan-jalan di sekitar rumah dan ternampak Jemat yang sedang mandi. Kelihatan di tubuh badannya ialah sebuah parut, hasil dicakar oleh seekor buaya.

Mereka menaiki bot untuk ke Taman Negara Bako pada keesokan harinya. Sementara menunggu air pasang, Jemat telah bercerita kepada mereka berdua untuk menghiburkan diri mereka. Ceritanya ialah mengenai pembunuhan suami yang curang oleh isterinya yang cemburu. Isterinya telah memasukkan rebung buluh kedalam masakan kegemaran suaminya. Erin dan Kamal, walaubagaimanapun, tidak merasa terhibur dengan cerita tersebut. Setelah air pasang, mereka pun bertolak semula ke destinasi percutian mereka. Setibanya di hotel, Erin mula muntah-muntah. Erin, kemudiannya meluahkan perasaannya untuk berbincang mengenai nota yang dibacanya itu. Tetapi, yang mendengar luahan perasaannya itu bukanlah Kamal tetapi Jemat. Erin kemudiannya terdengar perbualan suaminya dengan seorang wanita di telefon bahawa wanita tersebut telah mengandung anak Kamal. Kamal merasa sangat gembira kerana selepas 10 tahun menunggu, dia akhirnya berjaya menjadi seorang bapa.Kamal kemudiannya menyedari bahawa Erin telah mendengar perbualan tersebut.

Mereka pun mendaki bukit tempat Kamal melamarnya 10 tahun lalu. Bukti kecurangan Kamal semakin terserlah ketika pendakian tersebut. Setibanya di puncak, Erin menolak Kamal ke bawah. Erin, yang ketakutan kerana baru membunuh suaminya itu, lari dan meninggalkan Taman Negara Bako. Ketika perjalanan pulang, Erin telah diugut oleh Jemat untuk mendedahkan pembunuhan suaminya itu. Ketika Jemat menolak bot itu ketika air surut, Erin memukul kepala Jemat dengan pendayung sampan dan membunuhnya.

Setibanya di Kuala Lumpur, Erin memasakkan nasi lemak kepada Mayumi. Tanpa disedari oleh Mayumi, nasi lemak tersebut telah dicampurkan dengan rebung buluh. Mayat Kamal pula telah ditemui di Taman Negara Bako selepas air surut. Erin akhirnya menyerah diri di balai polis. Ketika di dalam sel, didedahkan Erin telah mengalami tekanan perasaan kerana pembunuhan yang dilakukannya itu.