Paleogeografi Paleosen

Dalam pelbagai segi, Paleosen meneruskan proses-proses yang telah bermula pada lewat Usia Kapur. Sewaktu Paleosen, benua-benua masih berhanyut ke arah kedudukan masa kini masing-masing. Superbenua Laurasia belum berpecah kepada tiga benua - Eropah dan Greenland masih tercantum, Amerika Utara dan Asia masih dihubungkan dengan jambatan daratan, sementara Greenland dan Amerika Utara mulai berpecah.[4] Orogeni Laramid pada lewat Usia Kapur masih meninggikan Banjaran Rocky di barat Amerika hinggalah epok yang seterusnya.

Amerika Selatan dan Utara masih terpisah oleh laut khatulistiwa (tetapi tercantum sewaktu Neogen); komponen-komponen bekas superbenua selatan Gondwanaland masih berpecah, yang mana Afrika, Amerika Selatan, Antartika dan Australia semakin menjauhi satu sama lain. Afrika menghala ke utara ke arah Eropah, perlahan-lahan menutup Lautan Tethys, sementara India mula berpindah ke Asia lalu menyebabka pelanggaran tektonik serta pembentukan Banjaran Himalaya.

Laut-laut pedalaman di Amerika Utara dan Eropah telah reda sekitar awal Paleosen untuk membuka laluan kepada flora dan fauna daratan yang baru.