Sejarah Parti_Demokratik_Sabah

Keputusan untuk menubuhkan Parti Demokratik Sabah menyusul Resolusi Seri Gaya pada 14 Mac selepas pucuk pimpinan Barisan Nasional mengatakan bahawa mereka tidak lagi akan menerima Parti Bersatu Sabah sebagai parti komponen Barisan Nasional tanpa mengira sama ada Datuk Joseph Pairin masih memimpin parti itu atau tidak. Penolakan ini diakibatkan oleh peninggalan PBS secara tiba-tiba daripada Barisan Nasional lima hari sebelum pembuangan undi semasa pilihan raya umum pada tahun 1990.

Oleh itu, Wakil-wakil Rakyat PBS telah membuat ketetapan untuk menubuhkan sebuah wadah kesinambungan untuk perjuangan politik kaum Kadazandusun Murut. Dengan tema "Kesinambungan Pembangunan Sosio-ekonomi", PDS memperjuangkan pembangunan sosio-ekonomi kaum Kadazandusun Murut sebagai salah satu daripada sumbangan mereka dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. PDS telah mengorak langkah ke arah matlamat tersebut dengan cara menubuhkan pertubuhan-pertubuhan seperti berikut:

  1. Institut Kemajuan Ekonomi Anak Negeri (INDEP: Institute for Indigenous Economic Progress): Institut ini menjalankan penyelidikan serta kajian-kajian terhadap cabaran-cabaran pembangunan sosio-ekonomi kaum KDM. Ditubuhkan pada tahun 1994, pertubuhan ini dilancarkan secara rasmi Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1997.
  2. Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI: Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry): Ditubuhkan pada tahun 1996, pertubuhan ini bertujuan untuk meningkatkan penyertaan kaum KDM dalam perniagaan dan perindustrian.
  3. Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF: Kadazandusun Language Foundation): Pertubuhan ini bertujuan untuk menjalankan penyelidikan serta mempromosikan pembangunan bahasa Kadazandusun dan Murut.
  4. Persatuan Pendidik Kadazandusun (PEKADUS): Pertubuhan ini diwujudkan untuk membela serta memberi sokongan kepada guru-guru Kadazandusun yang terlibat dalam pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah kerajaan.
  5. Persatuan Peneroka-peneroka Bandar Anak Negeri Sabah (SURIA: Sabah Urban Rural Migrant Association): Pertubuhan ini memperjuangkan hak-hak orang-orang KDM yang menjadi peneroka di bandar.

Di bawah pimpinan Tan Sri Bernard Dompok, dan berikutan pelantikan beliau kepada Kabinet Persekutuan pada tahun 1994, PDS berjaya mengerakkan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan Bahasa Kadazandusun sebagai sebuah bahasa yang diajar di sekolah-sekolah kerajaan. Mercu kejayaan PDS ialah pelantikan Tan Sri Bernard Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-11 pada tahun 1998 dalam sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun, PDS masih gagal untuk menyatukan seluruh kaum KDM dalam sebuah parti politik. Ini terbukti apabila para pengundi KDM, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri N 16 Moyog, tidak menyokong dan tidak mengundi Tan Sri Bernard Dompok, selaku Presiden PDS dalam Pilihan Raya Umum pada Mac 1999. Akibatnya, perkhidmatan Bernard Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah selama tempoh dua tahun, turut terhenti.