Pengenalan Pasukan_Operasi_Khusus_Malaysia

Kesemua elemen ini mempunyai objektif yang paling penting dalam keselamatan Malaysia, khasnya memerangi keganasan dan pencerobohan. Hal ini amat penting, memandangkan selepas insiden serangan 11 September 2001 yang berlaku di World Trade Center (Pusat Dagangan Dunia) dan Pentagon di New York, Amerika Syarikat, keganasan di peringkat global kian memuncak yang mana kemudiannya diikuti dengan insiden letupan bom di pusat pelancongan di Bali dan Hotel J.W. Marriott di Jakarta, insiden letupan bom di stesen keretapi dan transit di London, pengeboman dan pembunuhan di Selatan Thailand serta pengeboman di Madrid. Agensi keselamatan ini amat menitikberatkan kesemua insiden ini sebagai persediaan untuk menangani keganasan agar tiada sebarang agenda keganasan menular masuk ke dalam tanahair Malaysia walaupun seinci sekalipun. Setakat ini, Malaysia masih berada di tahap keselamatan yang amat tinggi dan tiada sebarang insiden keganasan berlaku di negara ini. Jika adapun, hanyalah kes kecurian senjata di pos tentera oleh kumpulan militan Al Ma'unah serta letupan bom di stesen bas Puduraya, Kuala Lumpur tetapi insiden ini berjaya ditangani dengan cepat. Hal ini ialah berkat daripada kerjasama dan hubungan erat agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat. Mereka mengambil inisiatif ini sepertimana yang berlaku semasa zaman darurat mulai dari tahun 1948 hingga 1989, dan rakyat Malaysia ingin memastikan tiada lagi sejarah keganasan berulang untuk kali yang ketiga mahupun untuk selamanya. Jika dinilai dari segi formasi, kekuatan, kelengkapan, kemahiran dan jumlah keanggotaan pasukan-pasukan elit Malaysia ini, ia setanding dengan pasukan elit dari Britain, Australia, New Zealand dan juga Amerika Syarikat. Malahan kesemuanya pernah mengharumkan nama Malaysia dengan penyertaan mereka di peringkat antarabangsa, misalnya misi pengaman PBB di negara-negara yang mengalami ancaman peperangan.