Takrifan Patriark

Istilah patriarkh terutamanya digunakan dalam jabatan Gereja. Dalam Gereja Katolik, Gereja Ortodoks Timur, Gereja Ortodoks Oriental dan Gereja Asyria Timur, para uskup yang darjatnya paling tinggi disebut patriarkh. Dalam Gereja Katolik, darjat seorang Patriarkh lebih tinggi daripada uskup agung utama dan primat, dan lebih rendah daripada kardinal. Pada tahun 1965, dalam motu proprio berjudul Ad Purpuratorum Patrum, Paus Paulus VI memutuskan bahawa patriarkh sui iuris yang diangkat menjadi kardinal, otomatik menjadi kardinal uskup yang darjatnya langsung di bawah enam kardinal uskup suburbicarian. Wilayah hukum Gereja dimana seorang patriarkh memerintah disebut patriarkhat. Biasanya sebuah patriarkhat meliputi satu atau lebih dari satu keuskupan agung atau metropolitan. Sepanjang sejarah, biasanya patriarkh bertindak sebagai etnarkh, yang mewakili masyarakat yang agamanya berbeza dari agama rasmi negara dimana masyarakat tersebut tinggal. Contohnya patriakhat untuk masyarakat Kristian dalam Empayar Uthmaniyyah.

Dalam Mormonisme, seorang patriarkh adalah seseorang yang telah ditahbiskan untuk memangku jabatan patriarkh dalam kerangka Imamat Melchizedek. Istilah ini dianggap sinonim dengan istilah penginjil. Salah satu tugas utama patriarkh adalah untuk memberikan berkat patriarkh, sebagaimana Yaakub memberkati keduabelas anaknya (Kejadian 48 – 49). Dalam cabang utama Mormonisme, seorang patriarkh memangku jabatannya seumur hidup.