Pendudukan_Indonesia_di_Timor_Timur
Pendudukan_Indonesia_di_Timor_Timur

Pendudukan_Indonesia_di_Timor_Timur

Pendudukan Indonesia di Timor Timur (sekarang Timor Leste) bermula pada bulan Disember 1975 sehingga Oktober 1999, dan mengorbankan kira-kira 100,000 penduduk Timor.[1]Selepas berabad-abad Timor Timur berada dalam jajahan Portugis, rampasan kuasa di Portugal pada tahun 1974 membawa kepada pembebasan koloni-koloni Portugis termasuk Timor Timur. Situasi ini juga membawa kepada ketidakstabilan Timor Timur dan masa depan yang tidak jelas. Selepas satu perang saudara kecil, parti pro-kemerdekaan FRETILIN mengisytiharkan kemenangan di ibu kota Dili dan mengisytiharkan kemerdekaan Timor Timur pada 28 November 1975. Dengan menggunakan alasan bahawa terdapat pemimpin Timor Timur yang meminta pertolongan, tentera Indonesia melanggar Timor Timur pada 7 Disember 1979 dan memusnahkan semua penentangan bersenjata yang menentang mereka. Dengan mempergunakan "Perhimpunan Popular", Indonesia mengisytiharkan Timor Timur sebagai satu wilayah Indonesia. Selama 25 tahun, penduduk Timor Timur menderita hukuman yang berat sebelah, seksaan dan kebuluran. Pembunuhan beramai-ramai Santa Cruz pada tahun 1991 menyebabkan kemarahan antarabangsa. Penentangan terhadap pendudukan Indonesia tetap kuat [2]dan pada tahun 1996, Hadiah Nobel untuk keamanan diberi kepada dua orang lelaki dari Timor Timur, Calos Filipe Ximenes Belo dan Jose Ramos-Horta kerana usaha mereka menghentikan pendudukan Indonesia secara aman. Satu referendum pada tahun 1999 untuk memilih masa depan Timor Timur menunjukkan keputusan majoriti yang sangat besar untuk kemerdekaan dan pada tahun 2002, Timor Timur menjadi sebuah negara yang merdeka.Sejurus selepas pendudukan Indonesia, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan meluluskan resolusi mengutuk tindakan Indonesia dan mahukan negara itu segera undur dari bumi Timor Timur. Kerajaan Amerika Syarikat, Australia, dan Britain walau bagaimanapun sangat menyokong Indonesia sepanjang pendudukan tersebut. Presiden AS Gerald Ford dan Setiausaha Negara Henry Kissinger berjumpa dengan Presiden Indonesia Suharto pada hari sebelum pencerobohan dan dilaporkan memberi lampu hijau untuk menceroboh[3]. Hanya Australia dan Indonesia yang mengiktiraf Timor Timur sebagai wilayah Indonesia dan kemudian mula berunding sesama sendiri untuk membolot sumber-sumber asli di Timor Timur. Kerajaan lain termasuk Jepun, Kanada dan Malaysia juga menyokong pemerintah Indonesia. Pencerobohan dan sekatan ke atas gerakan kemerdekaan Timor Timur bagaimanapun menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Indonesia di peringkat antarabangsa.[4]Selepas undi untuk kemerdekaan pada tahun 1999, kumpulan separa tentera yang bekerja untuk tentera Indonesia melakukan keganasan terakhir yang menyaksikan kemusnahan hampir seluruh infrastruktur Timor Timur. Selepas tentera Indonesia meninggalkan Timor Timur, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentadbir Timor Timur selama dua tahun dan menubuhkan unit untuk menyiasat kekejaman yang dilakukan semasa tahun 1999. Skopnya yang terhad dan jumlah kecil hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Indonesia menyebabkan seruan oleh pemerhati untuk menubuhkan tribunal antarabangsa untuk Timor Timur[5]