Peristiwa Perang_Berke–Hulagu

Hulagu Khan dan Berke berperang sesama mereka di sepanjang sempadan kerajaan Ilkhanat dan Angkatan Kencana iaitu di Pergunungan Caucasus dan Khorasan. Pada tahun 1262, Hulagu telah membuat keputusan untuk tidak pulang ke Mongolia bagi mengambil bahagian dalam pemilihan pemimpin Mongol baru setelah mendapat berita kematian Mongke Khan. Hal ini kerana laporan kekalahan tentera Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut telah memaksanya untuk kembali ke Timur Tengah semula. Pada tahun yang sama, anak Hulagu iaitu Abaqa melakukan serangan ke atas wilayah Angkatan Kencana melalui laluan Asia Tengah tetapi beliau menerima kekalahan awal. Pasukan Angkatan Kencana melancarkan serangan balas tetapi mereka pula mengalami kekalahan secara muktamad dalam pertempuran di timur Laut Kaspia. Hulagu menggunakan laluan yang sama digunakan oleh Subutai iaitu laluan Derbend untuk memasuki wilayah Angkatan Kencana.

Pada awalnya, kempen Hulagu ini dilihat meyakinkan sehinggakan pasukan musuh terpaksa berundur ekoran menerima asakan yang hebat oleh mereka. Hulagu telah mengirimkan sebahagian pasukannya yang dipimpin oleh anaknya sendiri untuk mengejar musuh. Pasukan Hulagu tiba di sebuah kem yang telah kosong dan terbiar. Mereka membuat keputusan untuk berehat dan makan di kem tersebut. Namun, ia sebenarnya perangkap semata-mata. Pasukan Hulagu terkejut kerana tersempak dengan pasukan utama musuhnya secara tiba-tiba yang melancarkan serangan hendap dan mengejut. Setelah berlaku pertempuran sengit, pasukan Ilkhanat berundur ke Sungai Terek yang telah membeku. Namun, ais-ais yang terbentuk di sungai itu kemudiannya pecah kerana menerima bebanan besar oleh manusia dan kuda-kuda Ilkhanat yang sedang berundur. Ramai tentera Ilkhanat bersama tunggangan kuda mereka telah tenggelam di bawah rekahan ais tersebut. Hulagu akui terpaksa berundur dengan segera ke selatan dan Berke berjaya merebut kembali wilayahnya semula yang gugur ke tangan Hulagu.

Pada tahun 1265, Hulagu meninggal dunia diikuti Berke pada tahun 1266 sekali gus menamatkan permusuhan antara mereka berdua. Akan tetapi, Empayar Mongol mengalami perpecahan serta legasi Genghis Khan telah ditandakan dengan empat kerajaan berlainan iaitu kerajaan Ilkhanat, Angkatan Kencana, Kekhanan Chagatai dan Dinasti Yuan.