Pertabalan Pertabalan_Sultan_Kedah_ke-29

Istiadat bermula dengan perarakan masuk pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin. Pada keberangkatan masuk Kebawah Duli-Duli Tuanku ke Balairung Seri, bacaan selawat telah dilafazkan lalu paluan nobat dimainkan. Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja serta juru-juru iring mengambil tempat. Dato' Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-Datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas. Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah DYMM Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah Diraja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan.

Mufti Kedah Dato' Sheikh Fadzil Awang diiringi Datuk Setia Jaya dan Datuk Murshid DiRaja selepas itu memimpin bacaan doa serta membaca lapan kalimah ayat dari Surah Ali Imran, Ayat 26. Ketua Istiadat mengadap baginda Sultan dan mempersembahkan al-Quran dan baginda menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.


Dato' Seri Mukhriz selepas itu membacakan Watikah Perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah dan Dato' Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca baginda Sultan. Selesai pembacaan watikah itu, Dato' Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan Keris Kerajaan. Keris Kerajaan melambangkan "kebesaran kedaulatan dan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku". Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil Keris Kerajaan, menghunus serta mengucup dan meletaknya di meja khas.

Dato' Paduka Ketua Istiadat selepas itu membuat pengumuman: “Dengan Izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabal sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29” Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang disusuli laungan, “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir. Nobat kemudiannya dipalu disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan dan setelah paluan nobat itu, lagu negeri Kedah Allah Selamat Sultan dimainkan.

Sebaik Sultan Sallehuddin berangkat bersemayam semula di atas singgahsana, Raja Muda Kedah mempersembahkan ucapan sabda tahniah bagi mewakili kerabat diraja dan selepas itu Menteri Besar mengambil giliran memberikan ucapan tahniah bagi mewakili kerajaan dan rakyat. Sebaik tamat, Sheikh Fadzil sekali lagi memimpin bacaan doa dan selepas itu Dato' Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat.