Sejarah Pertubuhan_Kebangsaan_Pasok_Nunukragang_Bersatu

PASOK diasaskan pada 1978 oleh Orang Kaya Kaya G. S. Sundang, seorang ketua suku tempatan dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah sebagai landasan politik untuk orang Kadazan, Dusun dan Murut. Pada 1985, PASOK menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam kerajaan campuran selepas PBS memenangi pilihan raya DUN[4]. PASOK memenangi kerusi DUN tunggalnya sehingga kini apabila presidennya Ignatius Stephen Malanjum memenangi kawasan Moyog[1].

Perkembangan terbaru

PASOK dihalang dari bertanding menggunakan nama dan simbolnya pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12 disebabkan pertelingkahan mengenai jawatan presiden yang masih belum selesai[5]. Calon PASOK yang sebelum ini merancang bertanding terpaksa memilih untuk bertanding sebagai calon bebas atau menarik diri terus.

Ini kerana pada 28 Februari 2008, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengeluarkan notis pembatalan pendaftaran kepada PASOK dengan menyebut kegagalan parti tersebut menyelesaikan kemelut pucuk pemimpinannya yang melibatkan Cleftus Mojinggol, John Richard Jayasuria dan Hendry Sabagang Rumpit. Parti itu seterusnya dibatalkan pendaftarannya pada 27 Mei walaupun salah seorang pihak menuntut mendakwa dia masih tidak mendapat notis tersebut dan kemelut tampuk pimpinan parti telahpun diselesaikan melalui satu persidangan perwakilan yang telah pemegang jawatan baru 23 Mei. Akan tetapi, senarai pemegang jawatan baru itu cuma diisytiharkan kepada umum di laman webnya pada 7 Jun.

PASOK bagaimanapun masih boleh merayu keputusan membatalkan pendaftarannya dalam tempoh 30 hari keputusan itu dibuat dan nasihat perundangan sedang dirujuk mengenai hal ini[6].