Sejarah Piala_Emas_CONCACAF

Sebelum penubuhan

Sebelum penubuhan konfederasi CONCACAF pada tahun 1961, beberapa pertubuhan bola sepak kecil sudah terbentuk di zon ini. Dua pertubuhan penting ialah Confederación Centroamericana y del Caribe de Fútbol (CCCF) yang dibentuk pada tahun 1938 (terdiri daripada negara-negara di zon Amerika Tengah dan kebanyakkan negara dari Caribbean) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara (NAFC) yang dibentuk pada tahun 1946 (terdiri daripada negara-negara di zon Amerika Utara serta Amerika Syarikat, Mexico, Kanada dan Cuba). Setiap pertubuhan mengadakan kejohanan mereka sendiri iaitu Kejohanan CCCF dan Kejohanan NAFC. CCCF telah menganjurkan 10 edisi kejohanannya pada tahun 1941 sehingga 1961, di mana pasukan Costa Rica memenangi tujuh kejuaraan (1941, 1946, 1948, 1953, 1955, 1960 dan 1961) dan 3 lagi dimenangi oleh pasukan El Savador (1943), Panama (1951) dan Haiti (1957). Manakala bagi NAFC pula, mereka telah menganjurkan 4 edisi kejohanannya pada tahun 1947, 1949, 1990 dan 1991 sebelum pengenalan Piala Emas CONCACAF.

Kejohanan CONCACAF

Untuk lebih terperinci berkenaan dengan topik ini, sila lihat Kejohanan CONCACAF.

Selepas penubuhan CONCACAF pada tahun 1961 menggabungkan konfederasi NAFC dan CCCF, satu kejohanan yang menggabungkan kesemua negara di zon CONCACAF telah diadakan 2 tahun kemudian, dengan negara El Savador telah dipilih sebagai tuan rumah pertama (1963). Kejohanan ini diadakan setiap 2 tahun dari tahun 1963 hingga 1971. Pada tahun 1973, kejohanan ini menggunakan format yang sama iaitu enam pasukan bermain di dalam satu kumpulan tetapi kejohanan ini telah digunakan sebagai peringkat kelayakan Piala Dunia FIFA bagi zon CONCACAF. Pasukan yang memenangi kejohanan ini secara automatik layak ke edisi Piala Dunia FIFA.

Era Piala Emas CONCACAF

Pada tahun 1990, CONCACAF sekali lagi mengadakan kejohanan untuk pasukan negara di zon mereka yang dinamakan sebagai Piala Emas CONCACAF (Bahasa Inggeris: CONCACAF Gold Cup) dengan negara Amerika Syarikat menjadi tuan rumah pertama kejohanan ini pada tahun 1991 dan juga pemenang pertama bagi kejohanan ini. Manakala pasukan Mexico pula memenangi kejohanan ini tiga kali berturut-turut pada tahun 1993, 1996 dan 1998. Edisi Piala Emas CONCACAF 1996 menyaksikan pasukan pelawat pertama menyertai kejohanan ini iaitu Brazil.

Edisi Piala Emas CONCACAF 2000 pula pasukan-pasukan yang bertanding dinaikkan dari lapan kepada 12 buah pasukan. Pasukan Kanada memenangi kejohanan seterusnya, kejuaraan antarabangsa mereka yang pertama selepas 100 tahun.

Semenjak penubuhan Piala Emas CONCACAF pada tahun 1991, kejohanan ini telah dimenangi sebanyak enam kali oleh pasukan Mexico, lima kali oleh pasukan Amerika Syarikat dan sekali oleh pasukan Kanada. Naib juara termasuklah pasukan Brazil, Colombia, Costa Rica, Honduras dan Panama.