Sejarah PlayStation_Move

Idea mengenai pembangunan PlayStation Move datang dari EyeToy[3], alat pengawal yang berdasarkan kepada kamera web yang dikeluarkan untuk konsol PlayStation 2 yang dilancarkan sekitar tahun 2003. Dalam pembangunan EyeToy, pembangun melakukan eksperimen mengenai fungsi grafik 3D berwarna dan mempunyai rekabentuk bertongkat[4] termasuklah prototaip yang mengandungi bola di atasnya[5]. Pada masa EyeToy dilancarkan, ianya hanya menawarkan fungsi gerakan bebas tanpa dijejak oleh mana-mana peranti lain. Namun begitu, teknologi pengesan pergerakan mula menjadi fokus setelah harga pasaran pengesan pergerakan menurun serta hasil jualan yang memberangsangkan bagi aksesori Wii Remote yang memiliki rekabentuk bertongkat[3] pada tahun 2008 menyebabkan pihak Sony mula membangunkan aksesori pengesan mereka sendiri. Untuk mencapai perkara ini, mereka melakukan semakan semula terhadap konsep penjejak berbentuk sfera yang akan digunakan untuk aksesori PlayStation Eye, mengintergrasikan kesemua pengesan intertia dan memperbaiki mutu produk mereka dari perspektif kejuruteraan dan rekabentuk[6]. Pada awalnya, kod nama untuk projek pembangunan Move dikenali sebagai "Y-con", kerana terdapat tiga bahagian iaitu bahagian perkakasan Sony Computer Entertainment di Jepun, bahagian kejuruteraan aplikasi dari Sony Computer Entertainment di Amerika Utara serta Sony Worldwide Studio bekerja bersama-sama untuk membangunkan produk ini; seperti huruf "Y" dari tiga hujung bergabung bersama-sama. Perkara ini merupakan permulaan kepada bentuk kerjasama di dalam Sony itu sendiri, yang kemudiannya diperluaskan bagi pembangunan projek PlayStation 4 dan PlayStation Vita[7].

Alat pengawal Move ini diumumkan semasa sidang media Sony dalam acara Electronic Entertainment Expo 2009 pada 2 Jun 2009, di mana demonstrasi juga diadakan menggunakan prototaip[8]. Pada mulanya, ianya dikenali dengan nama PlayStation Motion Controller, dan dijadualkan berada di pasaran pada suku tahun pertama atau kedua 2010. Walau bagaimanapun, sehingga Ogos 2009, ciri-ciri dan rekabentuk rasmi alat pengawal ini masih lagi belum disahkan[9].

Tidak lama selepas Sony memperlihatkan alat pengawal ini kepada pembangun, Sony menyatakan bahawa mereka sedang meneliti kemungkinan menggunakan alat pengawal pengesan pergerakan bersama-sama dengan alat pengawal standard PlayStation 3, seperti dalam senario di mana pemain menggunakan alat pengawal pengesan pergerakan sebagai pedang dan alat pengawal DualShock 3 sebagai perisai[10]. Penggunaan alat pengawal pengesan pergerakan dan alat pengawal PlayStation 3 mula diperlihatkan dalam acara Tokyo Game Show pada bulan September 2009 melalui permainan video Biohazard 5: Alternative Edition. Kebanyakkan pengguna melihat kombinasi alat pengawal ini digunakan dengan baik sekali, walaupun ada sesetengah yang merasakan memegang alat pengawal DualShock 3 dengan hanya sebelah tangan nampak janggal[11][12]. Pada masa itu juga, terdapat khabar angin yang menyatakan Sony sedang dalam peringkat mereka bentuk alat pengawal tambahan yang seakan sama dengan alat pengawal yang dikeluarkan Nintendo pada ketika itu, Nunchuk[13].

Pada bulan Januari 2010, Sony mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan alat pengawal ini pada suku ketiga atau keempat 2010[14]. Pada 10 Mac, Sony mengumumkan nama rasmi dan logo untuk alat pengawal ini dalam acara Game Developers Conference 2010, dan memperlihatkan rekabentuk akhir alat pengawal ini[15]). Logo ini dilihat sebagai bentuk ombak berwarna yang mewakili jejak cahaya yang dikeluarkan oleh bahagian sfera pada PlayStation Move apabila pemain menggunakannya[16].


Rujukan

WikiPedia: PlayStation_Move http://www.destructoid.com/tgs-09-resident-evil-5-... http://www.gamasutra.com/php-bin/news_index.php?st... http://gdc.gamespot.com/story/6253435/sony-reveals... http://www.gamespot.com/news/6257690.html http://www.gamespot.com/video/6211277 http://www.joystiq.com/2005/10/03/sony-has-its-own... http://www.joystiq.com/2009/09/25/tgs-2009-motion-... http://www.joystiq.com/2010/03/11/sony-scott-rohde... http://www.joystiq.com/photos/playstation-move-joy... http://kotaku.com/5367855/sony-still-pondering-nam...