Penanaman Pokok_Macang

Penanaman pokok bacang adalah menggunakan biji benih yang disemai dalam polibeg. Klon bacang kini masih belum ada yang didaftarkan di Jabatan Pertanian Malaysia dan yang ada cuma bacang tempatan. Dianggarkan terdapat seluas 150-200 hektar tanaman bacang di Malaysia pada tahun 2011 terutama di kawasan keliling rumah kampung tradisional. Jarak penanaman bacang yang disyorkan adalah 12m x 12m atau lebih jauh dari itu. Lubang penanaman disediakan dahulu dan diisikan dengan baja asas dan baja organik. Penggunaan anak benih bacang yang dicantum akan menghasilkan buah lebih cepat dari pokok ditanam dari biji. Jalankan kerja penyiraman sehingga pokok membesar. Kawal serangan kumbang Cockchafer dan belalang yang makan pucuk daun muda dengan racun serangga.

Buah macang di pokok

Pembajaan dengan baja organik dan baja kimia NPK 12:12:17:2 TE apabila pokok telah sesuai untuk berbuah dengan kadar 1.2-1.5 kilogram sepokok sebanyak 3 kali aplikasi. Serangan ulat batang dan ulat pengorek buah perlu dikawal dengan racun serangga jenis sistemik dan mengikut arahan pada label. Kebanyakan buah bacang yang ditanam di Malaysia mungkin boleh dikategorikan sebagai 'Buah Bacang Organik' kerana tidak pernah menggunakan bahan kimia atau baja kimia atau ada yang amalkan sistem penanaman 'Tanam, Tinggal dan Tuai - 3T'. Agak sukar untuk mendapatkan bekalan buah bacang kerana buah tersebut bermusim (sering keluar hasil bacang pada bulan Julai-September) setiap tahun. Kajian di Muar, Melaka dan Banting mendapati harga runcit bacang sekitar RM 10.00 - RM 15.00 sekilogram atau selonggok RM 5.00 mengandungi 2-5 biji bacang. Rasanya yang sangat manis (sehingga lebih dari 20 darjah brix) dan ianya adalah eksotik.