Sejarah Pop_yeh-yeh

Kulit album The Rhythm Boys, Novel

Lagu tempatan berirama pop yeh-yeh tempatan pertama dihasilkan ialah lagu Suzanna, dendangan M Osman pada tahun 1964. Ketika kemuncak kegilaan irama pop yeh-yeh, banyak kumpulan muzik atau istilah lamanya pancaragam yang ditubuhkan cuba meniru The Beatles dari segi penampilan, corak dan gaya persembahan.

Pada kebiasaannya, kumpulan gitar rancak atau dipendekkan gelarannya menjadi kugiran ini mempunyai empat anggota yang berperanan sebagai penyanyi, selain pengendali empat alat muzik iaitu tiga gitar elektrik dan dram. Ada di antaranya ditubuhkan di Singapura dan tidak kurang juga di Malaysia.

Perkembangan kugiran mendorong kewujudan banyak syarikat rakaman di Singapura sekitar 60-an, banyak lagu yang dirakamkan ke piring hitam dan dikomersilkan.

Antara penyanyi yang mencipta namanya pada ketika itu termasuklah A. Ramlie, Jeffrydin, Roziah Latiff, Adnan Othman, J Kamisah, Ahmad Jais, M Osman, Hussien Ismail, A Halim, S. Jibeng dan L Ramlie.

Yang menarik mengenai kugiran-kugiran pop yeh yeh adalah nama yang dipilih untuk menamakan kugiran mereka selalunya nama Inggeris, sungguhpun mereka menyanyikan lagu-lagu berbahasa Melayu. Contohnya, M Osman dan The Mods, Jefri Din dan The Siglap 5, A Ramlie dan The Rhythm Boys, Kassim Selamat dan The Swallows, Eddie Ahmad dan The Antartic, Hussein Ismail dan The Sandblues, A Romzi dan The Hook serta lain-lain lagi. Ketika itu juga wujud beberapa kumpulan rock dan pop termasuk The Rhythm Boys, The Jayhawkers, The Siglap Five dan The Hook yang menampilkan M Romzi sebagai penyanyi utamanya.

Kegemilangan pop yeh-yeh mula merosot pada 1971. Semenjak kemerosotan irama pop yeh-yeh, pusat perkembangan muzik Melayu mulai beralih dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Banyak penggubah lagu, penulis seni kata, penyanyi, penerbit album dan muzik mula bertandang bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah beberapa bandar lain termasuk Johor Bahru serta Ipoh untuk mengambil peluang dari perkembangan muzik Melayu yang semakin rancak berubah.