Ekonomi Pretoria

Sebuah bangunan di kampus utama UNISA sebuah universiti terbuka bertaraf mega universiti di Pretoria

Bandar raya Pretoria merupakan ekonomi ketiga terbesar di Afrika Selatan selepas Cape Town dan Johannesburg. Oleh sebab Pretoria merupakan ibu negara Afrika Selatan, sebahagian besar rakyat di sini bekerja dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan kerajaan. Bandar raya ini juga terkenal dengan industri besi dan keluli, di samping industri lain seperti seramik, pemprosesan makanan serta bahan kimia. Ia juga merupakan hab bagi pengangkutan kereta api dan mempunyai lebuh raya yang menghubungkannya dengan Johannesburg serta bandar raya utama lain di Afrika Selatan dan negara jiran seperti Mozambique. Walaupun Pretoria terkenal sebagai pusat pentadbiran negara, ia juga boleh dikatakan sebagai pusat pendidikan yang utama dengan terdapatnya beberapa universiti penting seperti University of Pretoria dan sebuah universiti terbuka iaitu University of South Africa (UNISA).