Ringkasan Putera_Naruhiko_Higashikuni

Setelah Jepun semakin kalah dalam kegiatan peperangan mereka di ambang akhirnya Perang Dunia Kedua lalu Perisytiharan Potsdam terpaksa diterima pihak tersebut, Maharaja Hirohito melantik Putera Higashikuni menggantikan Laksamana Kantarō Suzuki sebagai perdana menteri pada 16 Ogos 1945. Kabinet pilihan beliau ditugaskan memastikan penghentian pergerakan Tentera Empayar dengan teratur serta meyakinkan rakyat Jepun bahawa institusi maharaja mereka berada dalam keadaan yang selamat. Beliau meletakkan jawatan pada bulan Oktober tahun yang sama selepas menghadapi pertelingkahan dengan Pemerintah Tertinggi Kuasa Berikat mengenai pemansuhan Undang-Undang Pemuliharaan Keamanan 1925 (治安維持法 Chian Iji Hō) yang mengharamkan sebarang bentuk tindakan membangkang dasar-dasar politik kemaharajaan negara Jepun.

Beliau mencuba mewujudkan beberapa perusahaan runcit setelah bersara sebagai Perdana Menteri namun keseluruhan syarikat-syarikat tersebut gagal. Beliau turut menjadi pengerusi kehormat Persekutuan Seni Bela Diri Antarabangsa pada 1957.

Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung di Tokyo pada 20 Januari 1990 ketika berusia 102 tahun 48 hari iaitu lebih lama daripada hayat isteri, kedua-dua anak dan adik beradik beliau, bahkan lebih lama daripada Hirohito mendiang anak saudaranya sendiri.