Rainilaiarivony
Rainilaiarivony

Rainilaiarivony

Rainilaiarivony (lahir di Ilafy, Madagascar, 30 Januari 1828 – meninggal di Aljir, Aljazair Perancis, 17 Julai 1896 pada umur 68 tahun) adalah Perdana Menteri Madagascar yang menjawat jawatan tersebut dari tahun 1864 hingga 1895 setelah mengantikan abangnya, Rainivoninahitriniony, yang menduduki jawatan tersebut selama tiga belas tahun. Jenjang kariernya mirip dengan ayahnya, Rainiharo, tokoh ketenteraan terkenal yang menjadi Perdana Menteri pada masa pemerintahan Ratu Ranavalona I.Meskipun Rainilaiarivony dipinggirkan dari keluarganya pada zaman kanak-kanak, sebagai seorang remaja muda, beliau memperoleh jawatan dengan kekuasaan yang cukup tinggi dan mendapat kepercayaan dari istana. Beliau mengabdi kepada istana bersama dengan ayah dan abangnya. Ketika berumur 24 tahun, Rainilaiarivony ikut mengetuai ekspedisi ketenteraan yang penting bersama dengan Rainivoninahitriniony. Setelah kematian Ratu Ranavalona I pada tahun 1861, beliau diangkat menjadi Panglima Tertinggi. Beliau kemudian memimpin dengan sedaya upaya untuk mempertahankan penguasaan keluarga diraja di daerah-daerah terpencil dan berperanan sebagai penasihat untuk abangnya yang telah menjadi Perdana Menteri semenjak tahun 1852. Beliau juga merupakan salah satu tokoh yang bertanggungjawab ke atas perubahan corak pemerintahan dari sistem monarki absolut menjadi monarki konstitusional yang membahagikan kekuasaan antara ratu dengan Perdana Menteri. Pada tahun 1864, Rainilaiarivony dan Ratu Rasoherina bekerja sama untuk menggulingkan Rainivoninahitriniony dengan dalih penyalahgunaan jawatan. Rainilaiarivony kemudian menggantikannya sebagai Perdana Menteri dan memegang jawatan tersebut selama 31 tahun, menjadikannya perdana menteri terpanjang yang memegang jawatan itu. Ketika beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri, beliau pernah menikahi tiga ratu secara berturut-turut, iaitu Rasoherina, Ranavalona II, dan Ranavalona III.Sebagai perdana menteri, Rainilaiarivony secara aktif berusaha memodenkan pemerintahan negara untuk memperkuat dan melindungi Madagascar dari politik British dan Perancis. Angkatan tentera darat dirombak untuk disusun semula dan diprofesionalkan, pembelajaran awam dimandatkan sebagai perkara wajib, undang-undang yang berdasarkan kepada undang-undang Inggeris dikuatkuasakan, dan tiga mahkamah didirikan di Antananarivo. Secara bijaknya, Rainilaiarivony cuba untuk tidak menyinggung norma-norma tradisional, tetapi pada masa yang sama beliau juga membataskan amalan-amalan tradisional secara terhad, seperti perhambaan, poligami, dan perceraian sepihak yang dilakukan suami terhadap isteri. Pada masa kekuasaan Ranavalona II, dia juga mengkristiankan kerajaannya. Berkat kemampuan diplomatik dan ketenteraannya, dia berhasil mempertahankan Madagascar pada permulaan Perang Prancis-Hova, tetapi pada akhirnya pasukan Perancis berjaya menakluk kota Antananarivo dan memaksa Madagascar menyerah pada September 1895. Meskipun Perancis menghormati Rainilaiarivony, mereka memutuskan untuk memindahkannya ke Aljazair Perancis, dan dia menemui ajal di tempat tersebut dalam waktu kurang dari setahun pada Ogos 1896.