Kerjaya Ramzani_Kassim

Rem mula dicungkil bakat menerusi pencarian penyanyi lelaki pop baru di bawah payung Warner Muzik Malaysia pada tahun 1996. Sebelum itu Rem sering membuat persembahan di hotel-hotel sekitar negeri kelahirannya, Sarawak. Album debutnya mendapat sentuhan komposer yang baru meningkat naik ketika itu, Ajai. Pada pertengahan tahun 1997, muncullah album yang mengambil namanya sendiri sebagai judul itu ke pasaran umum. Menerusi album itu Rem cukup popular dengan tiga buah lagu ciptaan Ajai iaitu Semua Orang Tahu (S.O.T) Selingkar Kasih dan Kasih Kembalilah [1]. Ketika berlangsungnya Anugerah Industri Muzik ke-5 pada 1998, Rem dicalonkan dalam dua kategori penting termasuk Vokal Terbaik, dan berjaya memenangi kategori Artis Baharu Terbaik (Lelaki).

Album keduanya yang berjudul Impian Cinta muncul pada tahun 1999 dan cukup popular dengan lagu yang dijadikan judul album [2]. Lagu itu berjaya mara ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu ke-15. Selepas kejayaan itu Rem bertukar syarikat rakaman dari Warner Music ke New Southern Records (NSR) pada tahun 2001 dan menghasilkan dua buah album iaitu Setiap Waktu dan Satu Suara. Ketika itu Rem cukup popular dengan lagu balada Erti Kasih (2002) [3] dan hits terakhirnya setakat ini, Pendusta Cinta pada tahun 2004. Setelah agak lama menyepi, pada tahun 2009 beliau muncul dengan lagu single berjudul Selalu Ada dan disusuli pada tahun 2014 kolaborasinya bersama komposer muda Fynn Jamal yang berjudul Nanti Bila Kaya [4]. Ternyata semangat Rem tidak pernah pudar dalam dunia nyanyian walaupun lama tanpa album. Malah semangatnya begitu kental sehebat vokalnya yang bergetar untuk meneruskan perjuangan seni. Kata Rem, kelibatnya 'menyepi' cuma di media cetak dan elektronik tetapi tidak di pentas persembahan kerana sehingga kini masih aktif menyanyi di pentas-pentas korporat [5]. Dalam pada itu Rem juga berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi drama-drama TV tetapi dunia nyanyian masih menjadi keutamaannya.