Retikulum_endoplasma
Retikulum_endoplasma

Retikulum_endoplasma

Retikulum endoplasma (atau jalinan endoplasma) ialah sejenis organel dalam sel eukariot yang membentuk rangkaian kantung ditutupi membran atau rongga seakan tiub - sisterna - yang saling berhubung. Membran organel ini berjalinan secara berterusan dengan membran nukleus luaran. Retikulum ini wujud dalam kebanyakan jenis sel eukariot namun ia tiada pada sel darah merah dan spermatozoa. Terdapat dua jenis retikulum endoplasma yang ada dalam sel iaitu jenis kasar dan licin. Permukaan retikulum endoplasma kasar (bersitosol) dipenuhi ribosom yang merupakan tapak sintesis protein. Retikulum endoplasma kasar begitu menonjol terutamanya pada jenis sel tertentu seperti hepatosit. Retikulum jenis licin pula kekurangan ciri ini dan berfungsi dalam penghasilan serta metabolisma lipid, penghasilan hormon steroid dan pendetoksikan;[1] dan ia terdapat banyaknya dalam sel-sel gonad dan hati mamalia.