Kerjaya Saari_Amri

Penglibatan Anugerah Juara Lagu pertama Saari Amri ialah di Anugerah Juara Lagu ke-6 iaitu pada 29 Disember 1991 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Dua lagu beliau dipertandingkan iaitu Penantian dari Black Rose dan Setelah Aku Kau Miliki yang dinyanyikan oleh Shima. Namun, hanya satu lagu beliau dianugerahkan. Setelah Aku Kau Miliki dianugerahkan sebagai tempat kedua di Juara Lagu 91 tersebut dan persembahan memukau oleh penyanyinya Shima mendapat Persembahan Terbaik ketika itu.

Pada 19 Oktober 1996, beliau telah terlibat dalam kemalangan jalan raya lantas berhenti berkarya.[2][3] Tambahan pula, akibat krisis kewangan Asia 1997, syarikat penerbitan milik beliau, Menora Music telah terjejas dan beliau terpaksa menukar nama syarikat tersebut kepada Menora Music Entertainment.

Penapilan beliau yang kurus dan cengkung itu menyebabkan beliau sering disangka penagih dadah. Namun beliau bukanlah jenis manusia yang perlu bergantung kepada benda tersebut untuk mendapat idea kreatif dan segar bagi menghasilkan lagu.

Tanpa bergantung kepada benda-benda tidak sihat itu, sehingga kini Saari mempunyai kira-kira 400 buah lagu dalam simpanan peribadinya. Malah katanya, sejak kemalangan 15 tahun lalu, sehingga kini beliau jarang dijangkiti sebarang penyakit walaupun bertubuh kurus.

Menurut bapa kepada empat orang anak ini, beliau suka berangan dan membayangkan segala peristiwa yang dicatat sebagai lirik berlaku ke atas dirinya.

“Sebelum atau sesudah kemalangan, saya tidak pernah berhenti mencipta lagu kerana ia adalah hobi saya. Kalau ada penyanyi baru yang inginkan lagu ciptaan saya, mereka boleh pilih dari simpanan atau saya akan cipta yang baru,” katanya.

Saari yang pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya sekitar November, 1996, hari ini tampil dengan album koleksi Tajam Berbisa yang memuatkan 22 buah lagu ciptaannya.

Katanya, kehadiran album yang memuatkan sebuah lagu baru, Curang. Dalam Terang, dendangan Renggo Arrow bertujuan memberitahu orang ramai bahawa beliau masih aktif dalam bidang seni.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai yang menyangka beliau menyepikan diri dari bidang penciptaan gara-gara tidak menerbitkan album penuh.

“Dari kaji selidik, rakan-rakan seperjuangan menasihatkan saya agar tidak menerbit album penuh kerana pasaran merosot. “Sebab itulah bila FMC menawarkan saya untuk menerbtikan album kompilasi ini, saya setuju.

“Asalnya, lagu Curang Dalam Terang saya buat untuk Amir Uk’s tapi atas beberapa sebab, lagu itu dinyanyikan oleh Renggo. Saya berpuas hati dengan vokalnya sementara lagu-lagu lain masih mengekalkan penyanyi asal,” katanya.

Saari berkata, setiap lagu yang dipilih untuk dimuatkan dalam album Tajam Berbisa mempunyai nostalgia tersendiri, terutamanya Gerimis Mengundang, dendangan kumpulan Slam.

Katanya, lagu tersebut merupakan kemuncak kerjayanya dalam bidang seni kerana Gerimis Mengundang yang popular sekitar 1995, pernah dirakam dalam 14 bahasa di Indonesia.

Selain itu lagu-lagu popularnya yang dimuatkan dalam album Tajam Berbisa adalah Lena Diulit Intan (Wings), Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan),Pahit akan manis akhirnya (Ukays), Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (UK’s), Butakah Cinta (Spring), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Penantian (Black Rose), Sesat Dalam Rindu (Damasutra) dan Rambulan Kesiangan (Razzi Rahman).

Komposer yang hanya belajar setakat tahun enam itu berkata, walaupun tidak berpeluang melangkah ke menara gading, namun beliau tetap berbangga kerana hidupnya sekeluarga bergantung kepada karya seninya.

Beliau yang trauma menunggang motosikal gara-gara kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu, bukan sahaja melakar sejarah di Indonesia, malah pernah menjadi guru vokal kepada Andy Lau pada tahun 2000.

“Saya sendiri terkejut apabila pengurusan Andy Lau panggil saya untuk jaga vokal dia yang menyanyikan lagu Melayu. Kalau tidak silap saya, judul Adakalanya Menghiris.

“Lagu itu asalnya Mandarin, kemudian dinyanyikan dalam bahasa Melayu dengan liriknya ditulis oleh Lukhman S. Seminggu saya berada di Hong Kong untuk proses rakaman Andy Lau,” ceritanya.

Bila mengimbas semula kenangan lalu, Saari yang sering diundang menjadi juri pertandingan nyanyian berkata, apa yang dinikmati sekarang adalah berkat usahanya.[6]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Saari_Amri http://akubudakpenang.blogspot.my/2012/04/saari-am... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&d... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... https://akubudakpenang.blogspot.com/2011/02/saari-... https://www.facebook.com/saari.amri https://www.hmetro.com.my/node/194990 https://www.hmetro.com.my/rap/2017/11/287550/masih... https://berita.mediacorp.sg/mobilem/world/komposer...