Aktivisme Sakinah_Junid

Sakinah Junid adalah suatu nama yang cukup besar dan merupakan salah seorang tokoh wanita [3]sebaris dengan nama Shamsiah Fakeh dan Tan Sri Aishah Ghani sebagai pemimpin wanita yang terawal terlibat di dalam perjuangan menentang penjajajahan dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Beliau juga merupakan antara pengasas[4] kepada Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Berbanding Shamsiah Fakeh dan Tan Sri Aishah Ghani yang dilihat sebagai pemimpin wanita dalam kelompok wanita per se, Sakinah Junid dilihat mampu mengetuai sesuatu kumpulan yang diangotai wanita dan lelaki.

Beliau mula memimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS) Cawangan Padang Rengas ketika usianya 23 tahun. Sebagai tokoh wanita di barisan hadapan pasca pemerintahan Jepun, Sakinah Junid bolehlah dikatatakan sebagai pejuang wanita pertama di Malaysia yang telah memimpin suatu kelompok pejuang lelaki dan wanita. Beliau telah mengetuai rombongan 300 orang pemuda Angkatan Pemuda Insaf (API) dan wanita Angkatan Wanita Sedar (AWAS) berarak [5] dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar sambil menyanyikan lagu Darah Rakyat dan Dari Barat Hingga Ke Timur dengan penuh semangat di selang-seli dengan laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!.” Sakinah Junid berjaya meyakinkan golongan lelaki di dalam kumpulan tersebut untuk berjalan kaki walaupun pada mulanya mereka menjadi lemah semangat untuk menghadiri perhimpunan raksasa menentang Malayan Union pada 28 Mei 1946 di Kuala Kangsar kerana kenderaan awam, malah lori dan kereta lembu pun tidak dibenarkan Inggeris membawa mereka ke Kuala Kangsar. “Kalau kamu orang lelaki tidak mahu ikut serta menentang Malayan Union, biar kami srikandi sahaja yang pergi. Kamu orang lebih baik pakai sarung di rumah”, tegas Sakinah dengan penuh “nasionalis” dan bersemangat jitu. Kesimpulannya, tokoh ini bukanlah seorang pejuang wanita untuk wanita kerana beliau adalah pejuang wanita untuk agama, bangsa dan Negara.

Ketokohan dan semangat perjuangan yang ditonjolkan oleh Sakinah Junid ini menyebabkan ramai pergerakan wanita dalam dan luar negara pada masa kini telah mula menyebut namanya sebagai idola kepemimpinan wanita Malaysia yang patut dicontohi. Lantas nama Sakinah mula diangkat oleh kelompok tersebut.