Latarbelakang Sakinah_Junid

Puan Sri Datin Hajjah Sakinah binti Syeikh Haji Junid atau Sakinah Junid ialah isteri[2] Tan Sri Dato' Mohd Asri bin Haji Muda, seorang pemimpin PAS dan Hizbul Muslimin.

Beliau berkahwin dengan Tan Sri Dato' Mohd Asri bin Haji Muda pada 15 Ogos 1947 dan mempunyai 9 orang anak, 2 orang lelaki dan 7 orang perempuan, iaitu Noor Dianauli, Husni Zaim, Ratna Inzah, Mutia Sabihah, Naliyah, Khalidah, Nasibah, Najah dan Mohd Taqiuddin.

Sakinah Junid adalah anak kepada Syeikh Junid Thala seorang ulama besar di Perak khususnya di Padang Rengas dan Sariyah Haji Said. Sakinah Junid dilahirkan di Kampung Lalang, Padang Rengas pada tahun 1922 ketika ayahnya belajar di Universiti Al Azhar di Mesir. Setelah tamat pengajiannya di Mesir, Syeikh Junid pergi ke Mekah. Pada 1925, ketika Sakinah berusia 3 tahun, dia dibawa oleh ibu dan bapa saudaranyanya ke Mekah untuk bertemu dengan ayahnya dan mereka sama-sama menunaikan Ibadah Haji. Pada tahun itu juga Syeikh Junid kembali ke Padang Rengas dari Mekah, bersama isterinya Sariyah dan puteri pertamanya, Sakinah Junid.