Pemilihan Sekolah_Berprestasi_Tinggi

Kriteria pemilihan diumumkan kepada semua sekolah melalui portal KPM. Pemilihan sekolah untuk pengiktirafan SBT akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan SBT yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan dianggotai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM) Sektor Operasi Pendidikan, TKPPM Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, TKPPM Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) dan Sekretariat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Calon untuk pengiktirafan SBT adalah terdiri daripada sekolah rendah dan menengah yang berada dalam Band 1 berdasarkan skor komposit yang mengambil kira Gred Purata Sekolah (GPS) dan Keputusan Penarafan Kendiri Sekolah (PKS) berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysian (SKPM).

Pemilihan SBT akan melalui tiga proses saringan:

Saringan Pertama: Sekolah berada dalam band satu (1), iaitu sekolah rendah yang mendapat skor komposit sekurang-kurangnya 85 peratus (%), dan sekolah menengah yang mendapat skor komposit sekurang-kurangnya 90 peratus (%) wajib mengisi Borang Pencalonan Pengiktirafan SBT (BPP-SBT). Skor komposit merupakan 70% gred purata sekolah (GPS) dan 30% Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Sekolah akan disenaraikan mengikut skor komposit dan markah dalam BPP-SBT.

Saringan Kedua: KPM akan memilih sekolah yang layak daripada band satu (1) untuk dinilai dan diverifikasi dengan menggunakan instrumen SKPM dan Annex-SBT oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Annex-SBT akan menilai lima (5) ciri kecemerlangan dan keunggulan sekolah iaitu personaliti unggul, anugerah diterima, jalinan, jaringan dan penandaarasan.

Saringan Ketiga: Sekolah yang telah diverifikasi oleh JNJK disusun mengikut markah penarafan SKPM dan Annex-SBT. Hanya sekolah yang mendapat skor sekurang-kurangnya 90 % dalam penarafan SKPM yang telah diverifikasi oleh JNJK akan diambil kira. Jawatankuasa pemilihan akan memilih sekolah yang layak untuk diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Penentuan Band Sekolah

BandSkor komposit (%)
Sekolah rendahSekolah menengah
1≥85≥90
275–84.9980–89.99
365–74.9970–79.99
455–64.9960–69.99
545–54.9950–59.99
635–44.9940–49.99
7≤34.99≤39.99