Sejarah Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Agama_(L)_Al-Mashoor

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) atau SMASH merupakan sebuah sekolah yang terletak di Jalan Air Itam Pulau Pinang, Malaysia.

Ia telah diasaskan atas kesedaran golongan bangsa Arab di Pulau Pinang yang bimbang akan kekurangan pendidikan agama dalam kalangan anak-anak melayu.

Pada tahun 1916 bersamaan 16 Muharram 1335H, satu mesyuarat telah diadakan khusus untuk penubuhan sebuah sekolah agama. Dengan usaha gigih dan semangat kerjasama yang tinggi semua pihak maka tertubuhlah sebuah sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Al-Quran, di Lebuh Acheh (Masjid Melayu Pulau Pinang). Ramai pihak menyumbang untuk merealisasikan sekolah agama ini, antara pihak yang menyumbang kepada penubuhan Madrasah ini termasuklah Tuan Syed Mahzar Aidid, Al-Syed Omar Al-Sagoff, Al-Sheikh Hassan Al-Baghdadi, Al-Syed Al-Sheikh Ali Bawazir dan Al-Sheikh Al-Haji Zakaria. Guru pertama yang mengajar di Madrasah ini ialah Al-Syed Abdul Rahman AlHabshee, manakala guru besar pertama ialah Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi.

Madrasah ini terus mendapat sambutan orang ramai dan pada tahun 1918, Madrasah ini telah berpindah ke kawasan yang lebih besar di Kampong Jawa Lama, dengan nama baharu iaitu Madrasah Al-Mashoor, sempena nama Tuan Habil Al-Mashoor, seorang penghulu yang terkenal di Pulau Pinang pada masa itu. Di samping Tuan Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi sebagai guru besar, guru-guru lain yang mengajar pada ketika itu ialah Tuan Al-Sheikh Mohd. Radzi, Tuan Al-Syed Ahmad Dahlan, Tuan Abdul Rahman Firdaus, Tuan Syed Ali Al-Zahir dan Tuan Ustaz Yusuf Zawawi.

Pada tahun 1920, Madrasah ini telah berpindah ke Lebuh Teik Soon, iaitu tanah kepunyaan Tuan Haji Bachik (seorang hartawan dari Melaka). Pada masa itu, perkembangan sekolah tersebut berlaku dengan begitu pesat dan yuran sebanyak RM2 dikenakan kepada setiap murid. Mata pelajaran yang ditambah ialah Ulum Al-Syariah dan Bahasa Inggeris. Tuan Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi kemudiannya digantikan oleh Tuan Al-Allamah Al-Sheikh Abdullah Al-Maghribi, seorang ulama yang pernah mengajar dan menjadi imam di Masjidil Haram, Makkah. Antara guru yang mengajar pada masa pentadbirannya ialah Tuan Al-Marhum Sheikh Tahir Jalaluddin, Tuan Al-Sheikh Ahmad Al-Hadi dan Tuan Al-Allamah Al-Hafiz Ghulam Sarwar.

Pada tahun 1934 iaitu semasa pentadbiran Tuan Sheikh Abbas Bakar Al-Rafie', barulah bahagian puteri disusun. Pelajar puteri ditempatkan di bangunan lama dan pelajar putera di bangunan baru. Kemudian, pelajar-pelajar puteri telah berpindah ke rumah kediaman Tuan Sheikh Abbas di Jalan Macalister. Pada tahun 1936, sekolah puteri berpindah bangunan ke Jalan Lunas.

Semasa penjajahan Jepun pada tahun 1941, Madrasah Al-Mashoor telah ditutup selama 3 tahun 8 bulan dan dibuka kembali pada tahun 1945 setelah British kembali ke Tanah Melayu. Usaha-usaha untuk mendirikan bangunan baru bagi sekolah dan asrama untuk pelajar putera dan puteri terus dijalankan. Pada ketika itu, tabung derma bangunan sekolah telah dilancarkan dan menerima derma ikhlas daripada Al-Amir Faisal, yang merupakan Tengku Mahkota Arab Saudi sebanyak RM10,000 dan juga sebanyak RM1,000 daripada Duta Sudan serta derma daripada masyarakat sekeliling. Pada tahun 1957, sempena kunjungan Perdana Menteri Malaysia yang Pertama, YTM Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke Madrasah Al-Mashoor, beliau berjanji akan membantu mendirikan bangunan baru bagi kedua-dua buah sekolah. Sebuah Jawatankuasa Pembinaan telah ditubuhkan dan mereka telah bekerja keras untuk pembinaan sekolah baru. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Tuan Syed Abdullah Al-Sagoff (Pengerusi), Tuan K.S. Mohd. Ismail Alaudin, Tuan Syed Omar Al-Mashoor, Tuan Haji Yusuf Rawa, Tuan Dr. Haji S.M.Baboo, Tuan K.S.N. Baharuddin, Tuan Haji Hassan Badjunid dan Tuan M.N. Sathar. Permohonan bantuan telah dimohon kepada pihak Lembaga Kebajikan Masyarakat.

Waris-waris Almarhum Tuan K.M.S Sultan Alaudin telah mewakafkan sebidang tanah dan rumah di Jalan Lunas bagi tapak sekolah puteri. Waris beliau iaitu Tuan Hj. K.S. Mohd. Ismail menjadi pengerusi Jemaah Pengurus SMKA Al-Mashoor (P) pada masa sekarang. Pada tahun 1970, guru besar pada masa itu Al-Ustaz Ahmad Badjunid telah memainkan peranan aktif untuk mengambil lebih ramai murid yang tercicir dari Sekolah Menengah Kerajaan. Pada masa itu terdapat bantuan bulanan daripada Rabitah Al-Alam Al-Islamiah Arab Saudi (The World Muslim League).

Pada akhir tahun 1978, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil alih bangunan sekolah putera di 41-A, Lebuh Teik Soon untuk pembinaan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Kerajaan negeri telah menggantikan tapak di Lebuh Teik Soon dengan sebidang tanah di Jalan Air Itam seluas 2.8 ekar. Mulai 1 Januari 1979, Kementerian Pelajaran Malaysia Bahagian Agama Islam telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini secara rasmi dan nama sekolah ditukar daripada Madrasah Al-Mashoor kepada SMKA Al-Mashoor (Lelaki) dan SMKA Al-Mashoor (Perempuan) yang diurus secara berasingan.

Sebuah bangunan baru telah didirikan di Jalan Air Itam untuk pelajar-pelajar putera. Sementara menunggu bangunan baru siap, pelajar-pelajar putera telah menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi sehingga akhir tahun 1981. Setelah diambil alih oleh kerajaan selama 3 tahun, cadangan telah dibuat untuk membina bangunan baru bagi pelajar-pelajar puteri. Oleh itu sementara menanti bangunan baru di Medan Lim Cheng Teik siap, pelajar-pelajar puteri telah menumpang di SMKA Al-Mashoor (Lelaki) dari tahun 1982 hingga Oktober 1984 (2 tahun 10 bulan).

Memandangkan kurikulum SMKA Al-Mashoor telah berubah, para Pemegang Amanah Al-Mashoor berasa bertanggungjawab untuk mewujudkan semula sekolah agama yang menjadikan mata-mata pelajaran agama hadis, tafsir dan lain-lain lagi sebagai mata pelajaran asas. Setelah persetujuan diperoleh, dan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Maahad Al-Mashoor Al-Islami pun diwujudkan pada Februari 1993. Buat sementara waktu, sekolah ini menumpang di bangunan wakaf Masjid Riduaniah, Sungai Batu, Bayan Lepas dan kini Maahad Al-Mashoor Al-Islami telah mula bertapak dan tersergam indah di Simpang Empat, Balik Pulau, Pulau Pinang. Tapak ini diberikan oleh kerajaan sebagai menggantikan tapak sebenar yang telah diambil alih untuk bangunan KOMTAR dan sekaligus nama maahad bertukar kepada Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Berkaitan