Sejarah Sekolah_Menengah_Sains_Bagan_Datoh

Rancangan Malaysia Ke-9

Pada tahun 2006, projek Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh adalah idea asal daripada YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia pada waktu itu yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk. Beliau juga merupakan Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hasrat ini bertujuan untuk memantapkan lagi keutuhan serta kecemerlangan SBP di Malaysia khususnya di Perak sendiri. Nama diberi adalah Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh yang mana juga hasil idea beliau melambangkan tempat dimana sekolah ini ditubuhkan gahnya di bumi Bagan Datoh (kini Bagan Datuk). Ia juga berupaya menjadi lambang kemajuan dari segi pendidikan di Bagan Datuk yang dahulunya digelar Pekan Koboi. Namun, cadangan ini pernah disangkal kerana Daerah Hilir Perak telahpun mempunyai sebuah lagi SBP iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan yang dibina sejak sekian lama pada 1987. Walau bagaimanapun, cadangan ini diluluskan juga di bawah persetujuan Kerajaan Malaysia.

Dalam Pembinaan

Projek SABDA dirancang memulakan pembinaan pada awal Jun 2007 dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2009. Keluasan tanah yang diluluskan adalah seluas 50 ekar di bawah tanah lot 6026, Mukim Bagan Datoh, Hilir Perak. CMS Construction (M) Sdn. Bhd. merupakan kontraktor yang bertanggungjawab dalam merealisasikan projek SM Sains Bagan Datoh. Semasa projek ini dilaksanakan, pelbagai dakwaan yang mengatakan bahawa projek ini mengganggu industri kelapa sawit di Ladang Bagan Datuk. Bukan itu sahaja, kontraktor yang bertanggungjawab juga didakwa tidak melaksanakan projek dengan sempurna. Namun, perkara tersebut bukan suatu batu penghalang buat projek ini yang mana mampu melahirkan pemimpin berkualiti yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada suatu masa akan datang.

Penyerahan Projek

Pada 27 Februari 2009, projek telah siap sepenuhnya. CMS Construction (M) Sdn. Bhd., kontraktor bagi projek tersebut, mula melaksanakan proses penyerahan tapak kepada Kementerian Pendidikan Malaysia menandakan tapak ini secara rasminya di bawah seliaan KPM sendiri. Hasil daripada perlaksanaan proses tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia mengarahkan seorang penjaga atau caretaker yang merupakan Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) iaitu Tuan Haji Addenan bin Osman yang kini merupakan pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (SEPINTAR) pada 8 Mac 2009. Oleh itu, KPM menempatkan Tuan Haji Mohd Ardani bin Yunos sebagai pengetua yang pertama buat julung-julung kalinya.

Pembukaan Sulung

Pada 12 Mei 2009, pihak Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh secara rasminya membuka kemasukan pelajar SABDA generasi pertama yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 dan 4 seramai 184 orang pelajar. Hal ini menandakan sambutan yang memuaskan terhadap keterbukaan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran di bangku sekolah menengah dengan memilih SABDA sebagai kesinambungan kecemerlangan mereka di bawah era pengetua pertama SABDA, Tuan Haji Mohd Ardani bin Yunos.


Tuan Haji Mohd. Ardani bin Yunos merupakan pengetua yang pertama sejak penubuhan SM Sains Bagan Datoh sehingga 2015. Beliau terkenal dengan sifat berfikiran terbuka serta luhur dalam pemikiran serta mempunyai pengalaman yang eksklusif dalam konteks SBP kerana beliau pernah memegang mandat sebagai pengetua di salah sebuah sekolah SBP iaitu Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) pada 2004-2009. Anak kelahiran Teluk Intan ini sering merancang idea yang bernas dalam meningkatkan mutu serta kualiti SABDA. Tidak terkejutlah bahawa beliau berjaya dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Perak bagi tahun 2018. Bukan itu sahaja, beliau juga dianugerahkan Darjah Kesatria Mangku Negara K.M.N (Order of the Defender of the Realm) oleh Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada tahun 2007.

Perasmian Agung

Pada 8 Julai 2010, SM Sains Bagan Datoh telah dirasmikan dengan julung-julung kalinya serta disempurnakan oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah, Mantan Paduka Seri Sultan dan Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah mangkat pada tahun 2014. Baginda berkenan mencemar duli ke SABDA untuk merasmikan sekolah tersebut.