Kuasa Senat_Rom

Penduduk-penduduk Rom dibahagikan kepada dua kelas, iaitu Senat dan Rakyat Rom (seperti dapat diperlihatkan daripada singkatan yang masyhurnya, SPQR); Rakyat Rom terdiri daripada semua warganegara Rom yang bukan ahli Senat, umpamanya marhaen dan murba. Kuasa dalam negeri terletak pada Rakyat Rom melalui Dewan Undangan Peratusan (Comitia Centuriata), Dewan Undangan Kepuakan (Comitia Tributa), dan Majlis Marhaen (Concilium Plebis). Berbeza dengan kepercayaan yang popular, Senat Rom bukannya badan perundangan; senatus consultum hanya merupakan cadangan undang-undang, bukannya undang-undang pada dirinya. Penggubalan undang-undang yang benar terletak pada dewan-dewan perundungan Rom serta Majlis Marhaen yang bertindak atas cadangan-cadangan Senat dan yang juga memilih majistret-majistret kota. Tempoh republik akhiran menukarkan haluan Budaya Rom.

Bagaimanapun, Senat Rom mempunyai pengaruh (auctoritas) yang kuat dalam politik Rom. Sebagai lambang Rom, Senat merupakan badan rasmi yang:

  • menghantar dan menerima duta-duta bagi pihak kota;
  • melantik pegawai-pegawai untuk menguruskan tanah-tanah awam — termasuk gabenor-gabenor wilayah ;
  • mengendalikan perang-perang; dan
  • memperuntukkan wang awam.

Senat juga mempunyai prerogatif untuk memberi kuasa kepada ketua-ketua majistret kota dan konsul-konsul untuk mencalonkan diktator ketika menghadapi keadaan kecemasan (biasanya ketenteraan). Pada tempoh akhiran Republik, Senat mengelakkan penggunaan diktator dengan mengambil jalan keluar melalui senatus consultum de republica defendenda. Digelarkan senatus consultum ultimum, badan ini mengisytiharkan pemerintahan tentera dan memberikan kuasa kepada konsul-konsul untuk "menjaga Republik supaya kepentingannya tidak terjejas", menurut In Catilinam, ucapan pertama Cicero.

Seperti Comitia Centuriata dan Comitia Tributa, tetapi berlainan daripada Concilium Plebis, Senat beroperasi di bawah sekatan-sekatan agama yang tertentu. Mesyuarat badan ini hanya boleh diadakan di dalam sebuah kuil yang ditahbiskan, biasanya Curia Hostilia (upacara-upacara Hari Tahun Baru diadakan di dalam kuil Jupiter Optimus Maximus, dan mesyuarat-mesyuarat perang di dalam kuil Bellona), dan sidangnya hanya boleh bermula selepas doa, persembahan, dan penerimaan petanda yang baik. Mesyuarat Senat juga hanya boleh diadakan antara matahari terbit dan matahari jatuh, dan tidak boleh diadakan ketika mana-mana satu dewan perundangan sedang bersidang.