Serangan_Jerman_terhadap_Belanda

Pertempuran Negara Belanda (Bahasa Belanda: Slag om Nederland) ialah sebahagian daripada Kes Kuning (Bahasa Jerman: Fall Gelb), yakni serangan Jerman terhadap Negeri-Negeri Pamah (Belgium, Luxembourg, dan Belanda) dan Perancis sewaktu Perang Dunia Kedua. Pertempuran ini berlangsung dari 10 Mei 1940 sehingga penyerahan kalah angkatan Belanda pada 14 Mei. Tentera Belanda di wilayah Zealand meneruskan tentangan terhadap Wehrmacht (tentera darat) Jerman sehingga 17 Mei, tarikh penaklukan seluruh negara Belanda oleh Jerman selesai.Pertempuran Negara Belanda memperlihatkan penggunaan besar-besaran pertama tentera paracut bagi menduduki sasaran-sasaran penting sebelum ketibaan angkatan darat di kawasan sasaran. Luftwaffe (tentera udara) Jerman menggunakan pasukan paracut untuk menawan beberapa padang terbang di negara Belanda dan di beberapa kota penting seperti Rotterdam dan The Hague agar dapat menakluk negara dan menghalang tentera Belanda daripada bertindak balas.Pertempuran berakhir tidak lama selepas Rotterdam Blitz (pengeboman Rotterdam) oleh Luftwaffe Jerman dan ancaman Jerman untuk mengebom bandar-bandar besar Belanda yang lain sekiranya pasukan Belanda enggan menyerah kalah. Staf Am Belanda tahu bahawa mereka tidak dapat menghalang pesawat pengebom Jerman dan seterusnya menyerah kalah demi menyelamatkan bandar-bandar lain daripada pengeboman Jerman. Negara Belanda kekal di bawah penaklukan Jerman sehingga tahun 1945, apabila wilayah Belanda tertakluk terakhir dapat dibebaskan daripada penaklukan Jerman.